Pada
era zaman ini, negara kita yang semakin berkembang pesat sama ada dari segi
ekonomi, politik ataupun sosial yang hendak menuju ke arah wawasan 2020. Namun
begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu
penyakit sosial yang sudah menjadi buah mulut rakyat malaysia iaitu gejala
pembuangan bayi.Kes ini boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku dan boleh
kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan radio. Tindakan
manusia yang tidak bertanggungjawab yang telah membuang bayi adalah untuk
menyembunyikan perbuatan jahat mereka. Persoalannya, apakah punca yang telah
menyebabkan masalah gejala pembuangan bayi ini semakin meningkat?
Tidak
dapat dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama merupakan punca utama
dalam masalah pembuangan bayi ini. Biasanya golongan remaja yang kurang didikan
agama merupakan golongan yang paling banyak menyumbang kepada masalah
ini.Tambahan pula,remaja yang kurang didikan agama akan menyebabkan mereka
tiada mempunyai perasaan tentang sikap bertanggungjawab dan akhirnya sanggup
mengorbankan anak yang baru dilahirkan. Selain itu,didikan agama dalam sahsiah
remaja amat penting kerana dapat mengawal sebarang tingkah laku mereka.Dengan
adanya didikan agama, maka remaja akan bertindak secara rasional sebelum
melakukan sesuatu malah mereka akan dapat membezakan sama ada perbuatan itu
adalah baik atau buruk. Oleh itu, semua pihak perlulah bersikap menjaga tepi
kain orang di sekeliling dan mengambil berat tentang isu ini supaya negara kita
tidak dianggap sebagai masyarakat yang lemah dari segi agama.
Di
samping itu,kepincangan institusi kekeluargaan juga menjadi punca dalam masalah
ini. Sikap ibu bapa yang terlalu materalistik sehingga mengabaikan anak-anak
telah menyebabkan anak-anak mereka berasa kurang kasih sayang dan perhatian
daripada ibu bapa mereka.Ibu bapa tidak harus bersikap bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam mengejar kemewahan harta malah
mereka perlu lebih prihatinkan keadaan anak-anak. Mereka harus meluangkan masa
pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak
kehilangan tempat untuk mengadu.Selain itu,ruang kebebasan yang diberikan
terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai
gejala sosial di luar rumah. Jadi, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
mengatasi gejala pembuangan bayi yang berpunca daripada anak-anak sendiri.
Lain
daripada itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca membarahnya masalah ini
di negara kita. Hal ini demikian kerana pada usia yang muda, remaja amat mudah
dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka
yang darah setampuk pinang usia setahun jagung ini mula bergaul dengan rakan
sebaya yang negatif. Ghalibnya, rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak
remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat,
misalnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan
pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam gejal-gejala negatif tersebut
akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati
bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa
membuangkan bayi mereka .Hal yang demikian kerana mereka akan berperasaan malu
terhadap masyarakat yang mencaci mereka atas perbuatan mereka.
Sesungguhnya,
tiada penyakit yang tiad penawarnya. Oleh yang demikian, langkah yang drastik
dan efisien perlulah diambil untuk mengatasi masalah gejala ini daripada
semakin meningkat. Langkah yang utama hendaklah diambil oleh ibu bapa.
Pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk
menyedarkan anak-anak tentang dosa dan pahala. Oleh itu, didikan keagamaan
hendaklah dididik dalam jiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang
berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu. Umumnya, anak-anak ibarat
kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Memandangkan ibu bapa
merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak, setiap perlakuan mereka
akan mempengaruhi anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadi
suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa mestilah
memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal dan sentiasa
mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana hendak
mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pergaulan bebas yang seterusnya
boleh membawa mereka terjerumus ke lembah penzinaan.
Bukan
sahaja ibu bapa, tanggungjawab untuk mengatasi masalah pembuangan bayi turut
melibatkan pihak kerajaan dan media massa serta masyarakat di negara ini. Pihak
berkuasa mestilah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan
kesedaran remaja terhadap isu ini dan seterusnya dapat menangani masalah ini.
Sebagai contoh, kempen Kami Prihatin. Dalam konteks ini, inisiatif yang
dilaksanakan oleh kerajaan haruslah berterusan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. Di samping itu, peranan media massa dan media cetak amatlah
penting bagi menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Peranan media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara
besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan. Masyarakat juga harus menyokong
semua aktiviti yang telah diadakan untuk rakyat Malaysia.
Tuntas
bicara, masalah pembuangan bayi tidak seharusnya dipandang enteng. Dalam hal
ini semua pihak haruslah memberikan komitmen yang sepenuhnya. Kita tidak
seharusnya meletakkan tanggungjawab ini kepada satu pihak sahaja sebaliknya
kita hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi membenteras masalah
ini persis mutiara kata, “bukit sama didaki, lurah sama dituruni”. Dengan
adanya kerjasama yang utuh seikat bagai serai, serumpun bagai sirih, pasti
masalah ini akan dapat ditangani dari akar umbinya sekali gus misi Wawasan
Perdana 2057 mampu direalisasikan mengikut landasan yang betul.