Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Faktor-faktor dan Kaedah/Langkah Menangani Kemalangan Jalan raya

Apabila musim perayaan menjelang tiba, anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan mereka bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu, anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan kata lain, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk mengatasinya.

Faktor pertama kemalangan jalan raya berlaku kebiasaannya disebabkan oleh kelalaian manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan kereta yang tidak diservis dan tayar yang “botak” ini akan mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Oleh itu, kesan daripada manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.

Faktor kedua kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap manusia yang gagal merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Anggota masyarakat tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung supaya mereka tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang merupakan suatu penyiksaan kepada pengguna jalan raya. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya yang tidak sabar dan mengikut nafsu itu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku.

Faktor seterusnya yang menyebabkan kemalangan berlaku disebabkan oleh keadaan jalan raya yang kurang memuaskan hati penggunanya. Walaupun masyarakat sudah merancang perjalanan dan menyelenggara kenderaan mereka, kemalangan tetap juga berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan dan perkara ini akan menyebabkan kemalangan berlaku. Oleh itu, keadaan atau faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan kemalangan maut berlaku.
 
Kemalangan maut ini dapat diatasi dengan pelbagai kaedah, antaranya melalui kempen-kempen di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan televisyen boleh memaparkan iklan kepada audien supaya mereka tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan perjalanan. Sebagai contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang pemandu yang letih dan mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka perlu berhenti di kawasan rehat. Kempen dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat melihat iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah di sini bahawa melalui kempen, perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya.

Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan iaitu melalui Jabatan Kerja Raya adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu diturap dengan sempurna supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna berasa selesa ketika memandu kenderaan serta melancarkan perjalanan anggota masyarakat yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita.

Konklusinya, pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan perjalanan dan pandulah kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan maut ini boleh berlaku tanpa mengira masa. Mereka perlu ingat akan orang yang tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh itu, semua anggota masyarakat dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu kita berharap agar masyarakat di Malaysia dapat hidup sejahtera tanpa dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.