Contoh Karangan Kebaikan Membeli Barangan Buatan Tempatan
Ledakan
gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak
pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan
paradigm ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik
kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara
kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import
sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu
bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis
sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli
barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan
menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air sekiranya
kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan
faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat
menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia.
Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada
barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai
kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import.
Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata
telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa
bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas
memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah
harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung,
kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan
imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat
dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.
Tidak
ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat
patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap
sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk
dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman
serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat
Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang
tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat
tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan
terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun.
Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan
buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa
sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah
sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah
dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat
patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat
Malaysia.
Sesungguhnya,
seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun
Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras
kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.”
Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri
tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata
membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang
terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun
produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak
kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan
untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan
buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak
langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat
mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.
Sebagai
penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan
buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada
seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai
makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat
mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan
membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang
telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran
dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan
impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia
Boleh!