Modal insan yang juga dikenali sebagai pembangunan sumber manusia merupakan antara agenda utama dalam perealisasian Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) . RMK-9 yang dilancarkan oleh Perdana Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi fokus kepada unsur ini memandangkan manusia itu sendiri akan berperanan dengan begitu ketara pembangunan justeru mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. Konsep pembangunan modal insan ini adalah proses untuk membentuk insan yang baik, kamil dan berguna, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, agama dan negara.
Modal
insan ini berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit.
Modal insan ini juga membantu mencorakkan hala tuju negara ke arah Wawasan 2020
yang disasarkan bermula dari era mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamed. Modal insan ini disifatkan seperti tiang utama yang menguatkan dan
membentuk sesebuah bangunan. Jika bahan yang digunakan untuk membuat tiang itu
tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut juga akan mudah rosak atau roboh.
Begitu juga bagi sesebuah organisasi dan negara. Tanpa sumber manusia atau
modal insan yang berkualiti, sesebuah negara akan menjadi lemah kerana
ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam
sosioekonominya.
Pembentukan
modal insan masa ini jelas cuba dijelmakan melalui konsep Islam Hadhari yang
dibawa oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menerusi gagasan Islam Hadhari, sumber manusia ini akan melalui satu pakej
pendidikan yang menyeluruh, yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan
yang bakal dihasilkan adalah insan yang berkualiti dan dinamik. Di sinilah
letaknya peranan penting institusi pendidikan terutama yang melibatkan generasi
muda seperti MRSM. Modul tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah agar
para pelajar menghayati konsep hadharah dalam Islam ini. Hal ini demikian
kerana daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran
Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada kemampuan,
kemandirian dan jati diri rakyatnya. Oleh itu, jika setiap rakyat di negara ini
mempunyai kualiti manusia unggul seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.
pasti akan mudah dan lancarlah proses untuk mencapai kejayaan dan segala bidang
kehidupan.
Penghasilan
modal insan yang dinamik dan progresif memerlukan proses pengisian minda dengan
ilmu pengetahuan. Modal insan yang berilmu akan menjadi rebutan organisasi atau
pihak-pihak tertentu kerana merupakan aset berharga. Golongan yang berilmu
bijak untuk mengurus sumber atau aset organisasi dalam bentuk yang terkawal.
Jka mereka menggunakan bahan daripada sumber alam, merekatidak akan
melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan
sebagainya. Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka
mereka akan melakukan dengna rasa penuh tanggungjawab, amanah dan
berdedikasi.Saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan saya dan adik-adik saya
yang berada di maktab ini akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan
oleh MARA demi kegemilangan bersama justeru membekalkan modal insan yang boleh
dibanggakan. Selain itu, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik atau
menjadi suri teladan untuk mencetuskan sikap dan diri yang mempunyai ciri
keperibadian yang mulia.
Saya
merumuskan bahawa agenda pembangunan modal insan ini perlu diutamakan dalam
proses pembangunan negara kita kerana menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan
tahap ketamadunan bangsa kita. Kita perlu berfikir dan bertindak secara
produktif . Pendidikan merupakan faktor penting terhadap usaha ini.