Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita  telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama.  Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan  memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah  mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh  yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.
Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak  berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai  dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut  hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak  tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk  menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih  kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan  menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah  PATI di negara kita.
Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan  penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang  masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan  sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini.  Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk  hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan  tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi  kesalahan yang dilakukan.
Di samping itu, semua pihak yang berkuasa  wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar  semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti  Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung  limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan  mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara  kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini  amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan  pihak kerajaan.
Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing  tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika  tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan.  Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan  berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan.  Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan  rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan  permit kerja yang sah sahaja.
Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan  kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung  kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian  Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan.  Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi  menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang  sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara  lebih teratur dan terkawal.
Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja  asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat  dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang  tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan  memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.