Karangan PT3- Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah
Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era moden yang penuh kecanggihan ini.
Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia,
telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit,
kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di
tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga
memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera
serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit
juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan
perkhidmatan 3G.
Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk
anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak
murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah.
Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta
dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah
sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa
telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di
sekolah boleh mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit
ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan
menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap
materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar
yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada
teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit.
Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan
tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain.
Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga
menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita
membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian
telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi lebih-lebih lagi
banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.
Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian
semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit.
Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan
pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh
menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada
rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil
terhadap pelajar lain.
Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat
mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini
tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon
bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video
yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut
dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat
yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka.
Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan
sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini
para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai
digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan
mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah
itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak
lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang
kesan gelombang telefon itu.
Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di
atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini
terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku,
adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti
kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian,
semua hal ini tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk
dada tanyalah selera