Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Faktor dan Kesan Perang Candu Pertama 1839-1842

Pendahuluan

  • Perang Candu Pertama (1839-1842) juga dikenali sebagai Peperangan Inggeris-China Pertama kerana ekoran tercetusnya pertembungan antara dua kebudayaan yang bertentangan. Dalam pada itu, peperangan ini telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat mula bertapak di China dan ia menandakan dinasti Machu telah mengalami kemerosotan.
  • Peperangan ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan kesan.


Isi-isi penting

Faktor-faktor Perang Candu Pertama

(1) Konsep perdagangan yang bertentangan

  • Kerajaan China dan negara-negara Barat mengamalkan konsep perdagangan yang bertentangan.  Kerajaan China tidak berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan negara-negara Barat kerana negara China mampu memenuhi keperluannya dan sumber ekonomi utamanya berasaskan pertanian.  Masyarakat Cina menganggap aktiviti perdagangan sebagai kegiatan yang hina.
  • Masyarakat Barat berpegang kepada dasar perdagangan bebas.  Negara-negara Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan pasaran dan bahan mentah untuk kilang-kilang yang muncul ekoran Revolusi Perindustrian. Terdapat permintaan yang tinggi bagi barangan China seperti the dan sutera di Britain.

 

(2) Sekatan terhadap perdagangan asing

  • Pada tahun 1757, Maharaja Chien Lung mengeluarkan perintah bahawa pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan Canton.  Pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan membawa anggota keluarga mereka ke pelabuhan Canton. Setelah selesai menjalankan urusan perniagaan di Canton, mereka dikehendaki kembali ke Macau.
  • Pedagang-pedagang asing dibenarkan untuk menjalankan urusan perdagangan melalui kesatuan saudagar China yang di kenali sebagai Co-hong. Tindakan kerajaan China mengenakan cukai-cukai yang tinggi menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pedagang-pedagang asing.

 

(3) Sistem hubungan antarabangsa yang bertentangan

  • China menganggap dirinya sebagai ‘Chung Kao’ atau pusat dunia yang bertamadun. Maharaja China menganggap dirinya sebagai anak syurga dan pemerintah sejagat. Orang Cina menganggap orang Barat sebagai orang gasar yang tidak bertamadun.  Negara China menganggap negara-negara Barat bertaraf rendah dan tidak mahu menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar persamaan taraf.
  • China menganggap semua duta Barat sebagai pembawa ufti yang harus kowtow, iaitu melutut tanda hormat di hadapan Maharaja. Percubaan British menghantar utusan yang diketuai oleh George Macartney (1793) dan Lord Amherst (1816) ke Peking untuk menuntut perwakilan dan syarat-syarat perdagangan yang liberal menemui kegagalan.

 

(4) Pertentangan konsep undang-undang

  • Mengikut konsep undang-undang China, seseorang itu dianggap bersalah sehingga ia membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Konsep undang-undang Barat pula menekankan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga kesalahannya dapat dibuktikan.
  • Pertentangan konsep undang-undang China dan Barat menyebabkan hubungan China dan British menjadi bertambah buruk.

 

(5) Kekejaman undang-undang China

  • Pada tahun 1784, seorang kelasi kapal Lady Hugnes telah melepaskan tembakan hormat apabila sampai di Whampoa yang menyebabkan seorang Cina terbunuh. Kelasi berkenaan telah dicekik sehingga mati tanpa sebarang perbicaraan apabila diserahkan kepada kerajaan China.
  • Pada bulan Julai 1839, kelasi-kelasi Inggeris yang mabuk tekah membunuh seorang Cina yang bernama Lin Wei-hsi. Kerajaan China menuntut agar pesalah tersebut diserahkan kepalanya manakala pihak British enggan berbuat demikian.

 

(6) Kemasukan Candu

  • Faktor serta-merta yang menyebabkan tercetus Perang Candu Pertama ialah tindakan orang Inggeris membawa masuk bekalan candu ke China. Orang Inggeris menjual candu bagi mengimbangkan perdagangan teh dengan China.
  • Antara tahun 1821 hingga 1839, jumlah candu yang diimport telah meningkat kepada 4244 buah peti kepada 40 200 buah peti.  Perkembangan ini telah mengakibatkan imbangan perdagangan yang tidak menguntungkan China. Pengimportan candu menyebabkan pengaliran keluar wang perak yang telah menjejaskan kesihatan dan menimbulkan masalah sosial dalam kalangan penduduk China.

(7) Tindakan Lin Tsu-hse

  • Tindakan drastik yang diambil oleh Lin Tsu-hse bagi menghapuskan perdagangan candu telah menyebabkan tercetus perang antara kerajaan China dengan British. Pada tahun 1839, Maharaja China telah melantik Lin Tsu-hse sebagai pesuruhjaya imperial untuk menghapuskan perdagangan candu. Pada 18 Mac 1839, Lin Tsu-hse telah mengeluarkan titah perintah meminta orang asing supaya menyerahkan semua candu kepada kerajaan China dan memberi akuan untuk tidak membawa masuk candu ke China.
  • Kapten Charles Elliot menyerahkan 20 283 buah peti candu kepada kerajaan China untuk dimusnahkan namun British enggan memberi surat akuan untuk tidak membawa masuk candu ke China. Kapten Elliot bertindak menyerang Chuenpi pada bulan November 1839. British menjadikan peristiwa candu sebagai alasan.

Kesan-kesan Perang Candu Pertama

Kesan Politik

(1) Kemerosotan dinasti Manchu.

  • Perang Candu jelas sekali menunjukkan bahawa dinasti Manchu mengalami kemerosotan yang amat ketara.  Kekalahan kerajaan China dalam peperangan tersebut menunjukkan bahawa dinasti Manchu tidak mempunyai keupayaan untuk menghadapi penentangan kuasa-kuasa Barat.
  • Kelemahan dinasti Manchu menyebabkan rakyat mula menentang kerajaan hingga tercetus Pemberontakan Taiping.

(2) Muncul gerakan menguatkankan diri.

  • Perjanjian Nanking menunjukkan kelebihan kuasa-kuasa Barat dalam bidang sains dan teknologi. Perjanjian ini telah menyedarkan masyarakat China tentang kepentingan menguasai ilmu pengetahuan dari Barat.
  • Kesedaran ini telah membangkitkan minat masyarakat China untuk memulakan gerakan menguatkan diri.

 

Kesan Ekonomi

(1) Muncul golongan pedagang baru.

  • Penghapusan Co-hong menyebabkan muncul golongan pedagang baharu di China. Golongan ini terlibat dalam penubuhan pelbagai jenis industri dan perusahaan.
  • Perkembangan ini menyebabkan muncul sistem ekonomi moden menggantikan sistem ekonomi tradisional.

(2) Perniagaan candu meningkat.

  • Perniagaan candu telah meningkat secara mendadak selepas Perang Candu. Perjanjian Nanking yang menamatkan Perang Candu tidak menyentuh tentang sekatan terhadap perdagangan candu.
  • Perkembangan ini menyebabkan jumlah candu yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar Barat meningkat. Umpamanya import candu meningkat sebanyak 300 peratus pada tahun 1858.

 

Kesan Sosial

(1) Penyebaran agama Kristian.

  • Masyarakat China terdedah kepada penyebaran agama Kristian. Mubaligh-mubaligh Kristian bebas menyebarkan agama Kristian di pelabuhan-pelabuhan.
  • Perkembangan agama Kristian menyebabkan kebudayaan dan adat resam masyarakat Cina terjejas. Masyarakat Cina juga terdedah kepada pemikiran dan pengaruh kebudayaan Barat.

(2) Penghapusan amalan kowtow.

  • Selepas perjanjian Nanking ditandatangani, amalan kowtow ditamatkan.
  • Orang Barat tidak perlu menyembah Maharaja China dengan cara kowtow

 

Penutup

  • Sikap angkuh kerajaan China menyebabkan British terpaksa menggunakan kekerasan bagi memaksa kerajaan China membuka pintu kepada kuasa Barat. Perkembangan ini menyebabkan British mengisytiharkan peperangan terhadap kerajaan China pada tahun 1839 yang dikenali sebagai perang Candu Pertama.
  • Perang Candu Pertama meninggalkan kesan yang amat mendalam di dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perang ini juga meletakkan asa tercetusnya Perang Candu Kedua.