Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Faktor Dan Kesan Perang Candu Kedua 1856-1860

Pendahuluan

  • Pada tahun 1839-1842 berlaku peperangan antara British dengan China yang dikenali sebagai Perang Candu Pertama. Peperangan ini ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842.
  • Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan tetapi tidak menyelesaikan masalah dalam hubungan antara China dan British. Hubungan antara mereka tetap runcing sehingga mengakibatkan peperangan yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.

 

Isi-isi Penting

Faktor-faktor Perang Candu Kedua

(1) Kelemahan Perjanjian Nanking.

  • Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers mendakwa kelemahan Perjanjian Nanking merupakan faktor utama meletuskan peperangan yang kedua antara China dengan British pada 1856-1860. Keengganan China untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking dan tindakan British untuk memaksa China mematuhinya serta menuntut keistimewaan-keistimewaan tambahan telah meruncingkan hubungan antara China dan British.

 

(2) Masalah Amoy dan Ningpo.

  • Mengikut Perjanjian Nanking 1842, China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai. Walau bagaimanapun, selepas perjanjian tersebut ditandatangani, British mendapati Amoy dan Ningpo tidak sesuai dari segi perdagangan. Oleh itu, mereka telah mendesak China menukar pelabuhan-pelabuhan tersebut dengan pelabuhan-pelabuhan lain yang lebih sesuai. Selain itu, British berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perdagangan ke seluruh China. Mereka tidak mahu kegiatan perdagangan hanya tertumpu di 5 pelabuhan perjanjian. Oleh itu, mereka telah mendesak China membuka lebih banyak pelabuhan kepada pedagang asing. Kehendak British tidak dipersetujui oleh China kerana mereka menganggap negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat. Keengganan China untuk memenuhi kehendak British dan tindakan British untuk memaksa China memenuhi tuntutan mereka sudah tentu meruncingkan hubungan antara China dan British.

 

(3) Masalah Canton dan Foochow.

  • Mengikut Perjanjian Nanking, pedagang-pedagang asing diberi kebebasan berdagang di kesemua 5 pelabuhan perjanjian. Walau bagaimanapun, pedagang-pedagang asing masih lagi dikenakan sekatan-sekatan dan tekanan-tekanan terutamanya di Canton dan Foochow. Keadaan ini berlaku kerana sikap anti asing penduduk tempatan lebih-lebih lagi kerana mereka dipengaruhi oleh pegawai-pegawai sarjana yang merasai kepentingan mereka terjejas akibat kehadiran barat. Selain itu, Maharaja China yang baru menaiki takhta pada 1850 iaitu Hsien Feng dan Pesuruhjaya Tinggi China yang baru dilantik pada 1852 iaitu Yeh Ming Chen juga bersikap anti asing. Penduduk-penduduk tempatan telah memulaukan barang-barang barat. Selain itu, berlaku di Canton pada 1843 dan 1846 iaitu John Davies telah mengarahkan kapal perang British membedil Canton. Sebagai tindak balas, pihak China telah membunuh 6 orang rakyat British. Peristiwa ini sudah tentu meruncingkan hubungan antara China dengan British.

 

(4) Krisis ekonomi.

  • Perang Candu pertama telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah merayu supaya British mengurangkan ganti rugi. Keengganan British telah menjejaskan hubungan antara mereka

 

(5) Mambaharui perjanjian.

  • Bila Brtitish menyedari China tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian Nanking, mereka telah mendesak China supaya diadakan rundingan bagi mengkaji semua syarat-syarat Perjanjian Nanking. Tindakan ini diambil kerana British dipengaruhi oleh syarat Perjanjian Wanghsia 3 Julai 1844 antara China dengan Amerika dan Perjanjian Whampoa 24 Oktober 1844 antara China dengan Perancis yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut akan dikaji semula dalam tempoh 12 tahun. British menuntut keistimewaan ini berdasarkan prinsip “layanan negara yang diutamakan”. Sekiranya keistimewaan ini dinikmati oleh British, bermakna Perjanjian Nanking perlu dikaji semula pada 1854. British mahu mengkaji semula syarat-syarat Perjanjian Nanking dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan tambahan seperti kebebasan berdagang di kawasan pedalaman, Bandar-bandar serta pelabuhan-pelabuhan di pinggir pantai dan juga untuk menempatkan perwakilan diplomatik di Peking. Desakan British supaya China mengkaji semula syarat Perjanjian Nanking dan keengganan China untuk memenuhi kehendak tersebut telah meruncingkan hubungan antara mereka. Pihak China telah mendakwa negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat.

 

Kesan-kesan Perang Candu Kedua

 

(1) Menyedarkan China barat lebih superior.

  • Kekalahan China dalam Perang Candu kedua merupakan kekalahan kedua mereka kepada kuasa-kuasa barat dalam tempoh 2 dekad. Kekalahan inimenyedarkan mereka bahawa barat lebih superior daripada China. Buktinya mereka mula meniru teknik-teknik barat untuk dilaksanakan di negeri China. Pemimpin-pemimpin China seperti Tseng Kao Fan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang telah meniru idea-idea barat dalam politik, ekonomi dan sosial untuk dilaksanakan dalam Rancangan Pembaharuan “Gerakan Memperkuatkan Diri 1864-1894”.

 

(2) Lahir dua golongan.

  • Peperangan Arrow telah mengakibatkan lahirnya 2 golongan dalam masyarakat China iaitu golongan pro barat dan golongan anti barat. Golongan pro barat meniru idea-idea barat untuk dilaksanakan di negeri China manakala golongan anti barat menjalankan kegiatan menentang kegiatan orang barat serta pengaruh mereka di China. Contohnya pada 21 Jun 1870, mereka telah menyerang rumah kanak-kanak yatim Kristian di Tientsin menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk 10 rahib wanita. Pada tahun 1875, Raymond Margary serta 5 orang Cina yang menjadi pengikutnya telah dibunuh semasa menjalankan penyelidikan untuk mencari jalan darat dari Myanmar ke China.

 

(3) Hubungan diplomatik. 

  • Selepas Perang Arrow, China mula mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat. Bagi menguruskan hubungan dengan kuasa-kuasa barat, Pejabat Hal Ehwal Luar yang dikenali sebagai Tsungli Yamen telah diwujudkan pada 11 Mac 1861. Sejak tahun 1861, duta-duta asing mula ditempatkan di Peking. Antara mereka ialah Anson Burlingame (duta Amerika), Frederick Bruce (British), M. Buthemy (Perancis) dan De Balluseck (Rusia). Pada tahun 1866, dengan bantuan Robert Hart, satu perwakilan China yang diketuai oleh Pin Chun telah dihantar ke Eropah. Pada tahun 1868 dengan bantuan Anson Burlingame, satu perwakilan China yang diketuai oleh Chih Kong dan Sun Chia Ku telah dihantar ke Amerika. Perwakilan ini kemudiannya melawat negara-negara Eropah. Sejak tahun 1877, duta-duta China mula ditempatkan di negara-negara asing seperti di Amerika, British, Perancis, Jerman, Rusia, Sweden, Sepanyol dan lain-lain lagi.

 

(4) Krisis ekonomi.

  • Perang Arrow telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi di China.

 

(5) Penghijrahan. 

  • Perang Arrow, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Tambahan pula, Kerajaan China juga tidak menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut selepas termeterainya Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking. Orang-orang China sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di China.