Contoh Karangan STPM Isu Rasuah di Malaysia
Sejajar dengan landaan gelombang globalisasi
yang sedang mewarnai dunia ini, roda pembangunan dan kemajuan bergerak begitu
pantas di negara kita. Malangnya dan sedihnya, masih ada lakaran suram yang
terpahat dalam tamadun dan peradaban masyarakat kita. Gejala rasuah yang saban
hari dipaparkan di dada akhbar dan kaca televisyen bagai barah dalam masyarakat
yang memang akan meranapkan keutuhan bangsa dan peradaban tamadun manusia.
Persoalannya, apakah itu rasuah? Adakah gejala rasuah boleh membantutkan
pembangunan dan kemajuan negara kita yang kita kecapi sekarang?
Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang
dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah
dirinya sendiri. Bank dunia mendefinisikan rasuah sebagai ‘menyalahgunakan
kuasa pejabat am untuk kepentingan sendiri’, sementara Ketelusan Antarabangsa
(Transparency International) mendefinisikannya sebagai ‘menyalahgunakan kuasa
yang dipertanggungjawabkan untuk kepentingan diri sendiri’. Secara amnya rasuah
bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak
untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap pilih kasih dalam tindakannya.
Mengikut Transparency International , pada tahun 2003, Malaysia menduduki
tempat ke-37 dari segi tahap amalan rasuah- satu kedudukan yang kurang selesa
sedangkan negara kita sedang melaksanakan modus operandi untuk merealisasikan
Wawasan 2020 sebagai status sebuah negara maju yang mampu bersaing di seantero
antarabangsa. Kita harus ingat bahawa gejala rasuah memang seperti api dalam
sekam yang akan membantutkan wawasan generasi masa hadapan negara dan sekaligus
meruntuhkan tamadun bangsa kita.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, amalan
rasuah mahupun di peringkat rendah ataupun di peringkat tinggi dalam
pembangunan negara, boleh membawa kepincangan dalam sistem sosial, ekonomi dan
politik sesebuah masyarakat dan negara. Mengikut Datuk Shafee Yahaya, Ketua
Pengarah Badan Pencegah Rasuah, penyalahgunaan rasuah dalam kalangan pemimpin
politik dan pegawai kanan kerajaan melibatkan jumlah setinggi RM80 juta. Rasuah
walaupun melibatkan jumlah yang kecil tetap merupakan pengkhianatan terhadap
amanah dan juga harapan negara dan masyarakat. Apatah lagi jikalau hal ini
sudah melibatkan jumlah wang yang begitu banyak sehingga boleh meranapkan
keutuhan bangsa dan meruntuhkan sistem dan budaya pentadbiran negara. Pemimpin
politik dan pegawai kanan kerajaan yang sanggup menerima rasuah ini memang
menepati pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ dan senario yang dipaparkan
ini bagaimana menimbulkan kepercayaan dalam masyarakat? Lama-kelamaan apabila
kepercayaan masyarakat hilang, kerajaan akan menghadapi masalah dalam
mengembalikan kepercayaan tersebut kerana integriti penjawat awamnya sentiasa
dicurigai. Segala dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan
cundang malah memperlahankan dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Baca Juga: Punca dan Kesan Rasuah
Selain menghilangkan kepercayaan masyarakat
terhadap kerajaan, rasuah juga merupakan gejala sosial yang akan menghalang
pencapaian, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi,sosial dan politik sesebuah
negara. “Rasuah merupakan penghadang utama perkembangan dan pertumbuhan ekonomi
sedang membangun mahupun ekonomi dalam peralihan, dan fenomena serta puncanya
ialah institusi birokratik, sosial dan politik sesebuah masyarakat,” kata
Dr.Mohd Yaakub Haji Johari, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan
(Sabah), IDS. Dalam konteks ini, perbincangan ekonomi rasuah ini termasuklah
kesan rasuah ke atas pelaburan negara. Rasuah cenderung mengakibatkan
pengurangan dalam pelaburan domestic dan pelaburan asing langsung. Jika negara
kita telah dilabelkan sebagai negara rasuah, para pelabur asing akan kehilangan
kepercayaan kepada negara kita dan kemungkinan menarik pelaburan mereka dari
negara kita kerana khuatir wang akan diseleweng atau keuntungan berkurangan.
Selain itu, dalam keadaaan sesebuah ekonomi negara yang mengahadapi urus tadbir
yang teruk serta tahap rasuah yang kronik, kos pelaburannya selalunya
meningkat. Akibatnya pelaburan akan berkurangan dan imej negara kita di persada
antarabangsa akan terjejas.
Di samping itu, rasuah juga kerap mengakibatkan
herotan dalam perbelanjaan dan pelaburan awam serta kemerosotan kualiti
infrastruktur fizikal. Rasuah mengakibatkan perbelanjaan awam melebihi daripada
yang diperlukan. Para pegawai tinggi kerajaan yang tidak jujur memanipulasikan
keadaan dan meminggirkan pembangunan luar bandar. Golongan yang paling teruk
dijejas oleh amalan rasuah ini ialah golongan minoriti, miskin dan terpinggir,
“lebih-lebih lagi apabila bantuan yang patut disalurkan kepada mereka dikebas
oleh segelintir pihak berkepentingan,” kata Dr Denis Osborne, seorang pakar
pengurusan awan dan etika. Matlamat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar
bandar seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9)
seolah-olah menemui jalan buntu sekiranya gejala rasuah ini tetap melonjak
secara liar dan ganas! Akibat sesetengah pihak yang sanggup mengkhianati amanah
dan kepercayaan untuk menerima rasuah, golongan minoriti ini tidak dapat
menikmati kemudahan dan infrastruktur yang berkualiti dan akan sentiasa
dibelenggu dalam kemiskinan serta tertinggal dalam arus perdana pembangunan
negara.
Tidak ketinggalan juga, sesetengah ahli politik
juga menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima
dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa memenangi pemilihan jawatan dalam politik,
mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya. Rasuah yang berlaku
antara ahli politik ini juga mengundang musibah kepada pembangunan negara.
Kemajuan negara kita bergantung pada kewibawaaan pemimpin. Kegiatan rasuah yang
berlaku akan menghakis kepercayaan orang awam terhadap ahli politik negara kita
sekiranya gejala sosial yang kian menjadi parah ini tidak dibanteras dari akar
umbinya. Selain itu tidak hairanlah pemerintahan dan pentadbiran negara kita
menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan
hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya
jika cukai terhadap sesuatu barang yang telah ditentukan, maka pemberi rasuah
telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya
dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Pentadbiran sesebuah negara menjadi
kucar-kacir sehingga menghancurkan pencapaian dan pertumbuhan ekonomi, sosial
dan politik negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah
kejatuhan kerajaan presiden Marcos daripada tampuk kepimpinan disebabkan amalan
rasuah yang tidak terbendung.
Gejala rasuah juga mengakibatkan kesalahan
mengagihkan kemahiran dan bakat termasuklah masalah guna tenaga tidak penuh
beberapa golongan kemahiran yang penting dalam sesuatu masyarakat. Melalui
rasuah seseorang diberikan jawatan kanan atau tugasan yang lumayan di samping
menyekat peluang yang sama kepada individu lain yang lebih berkebolehan dan
berkelayakan. Akibatnya hasil kerja yang diperoleh selalunya lebih inferior
jika dibandingkan hasil kerja yang dilakukan oleh individu yang lebih cekap dan
berkebolehan. Rentetan itu individu yang lebih berbakat dan
berpengetahuan hanya dipendamkan akibat persaingan yang tidak adil ini. Apalah yang lebih
menyedihkan ialah individu tersebut mungkin mampu menyumbang tenaga dan
mendominasi arus perdana pembangunan negara tetapi telah ditinggalkan kerana
menghadapi persaingan yang tidak adil akibat amalan rasuah yang keji ini.
Jangan kita lupa, pembangunan negara kita memang bergantung pada pakar
professional dan cerdik pandai ini. Amalan rasuah yang berleluasa ini memang
seperti berludah ke langit menimpa batang hidung sendiri kerana akhirnya roda
pembangunan negara kita akan berhenti bergerak dan mengakibatkan rakyat hidup
dalam keadaan susah.
Di samping itu, kesan yang dibawa oleh rasuah
bukan sahaja terikat dalam pembangunan fizikal negara, malah membawa kesan yang
lebih memburukkan kepada pembangunan rohani dan mental seluruh masyarakat dan
negara. Masyarakat yang mengamalkan rasuah tidak mempunyai kejujuran dan
keikhlasan dalam tindak-tanduk mereka. Sikap prasangka, prejudis dan
benci-membenci akan menular serta merosakkan keamanan dan keharmonian
masyarakat. Amalan rasuah ini hanya menguntungkan pihak yang menerima faedah
dan golongan yang memberi akan berasa teraniaya. Ketidakadilan sosial ini akan
menjejaskan integrasi nasional yang diimpikan oleh pucuk pemimpin kita serta
menggagalkan usaha kerajaan untuk mencorakkan kedaulatan negara tercinta ini
dengan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan antara kaum. Adakah keadaan sosial
masyarakat ini menguntungkan atau memajukan pembangunan negara? Jawapannya
‘tidak’. Sebaliknya pemimpin negara kita terpaksa menanggung tanggungjawab yang
lebih membebankan untuk memulihkan masyarakat yang aman, harmoni dan damai
serta membanteras amalan rasuah dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, individu yang terlibat dalam
jenayah rasuah akan dikenakan hukuman dan tindakan undang-undang melalui Akta
Pencegahan Rasuah 1997. individu yang didakwa dan terbukti kesalahannya boleh
dipenjara, didenda atau diisytiharkan muflis. Selain hukuman penjara yang
mengaibkan diri dan keluarga, trauma emosi dan psikologi yang dilalui oleh
pesalah dan keluarganya juga sangat tinggi. Anggota keluarga yang tidak
bersalah juga akan merasai kesan akibat perbuatan buruk ini kerana segala hak
milik mereka dikaitkan dengan hasil haram wang rasuah. Individu dan anggota
keluarga menghadapi trauma yang meninggalkan kesan berpanjangan dan mendalam.
Impak ini menjadi lebih serius sekiranya pesalah merupakan seorang yang
memegang jawatan dalam organisasi sosial, ekonomi dan politik. Jika seorang
pemimpin terbukti bersalah, rakyat akan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka
yang seterusnya mengancam penbangunan dan pencapaian dalam pelbagai bidang.
Tegasnya, amalan rasuah
berpunca daripada perasaan tamak haloba yang terdapat dalam kalangan manusia. Rasuah sering dijadikan
sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau
dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Mereka tidak
memikirkan kesan buruk yang bakal menimpa diri, keluarga, bangsa atau negara.
Mengikut satu kajian dengan mengawal rasuah, sesebuah negara yang korup mampu
menarik sejumlah pelaburan asing yang sama tanpa memberikan pelepasan cukai
yang lumayan hanya dengan mengawal amalan rasuah. Satu peluang yang begitu
menguntungkan kepada pembangunan sekiranya negara kita berjaya membanteras
rasuah. Oleh itu, amalan rasuah, perbuatan yang meracuni sifat-sifat bersih,
cekap dan amanah dan berteraskan jiwa murni, harus diperangi
sehabis-habisannya.
“Kemelut rasuah merupakan satu peperangan yang
mesti diteruskan dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) tidak berduduk berdiam diri,”
kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi selepas melancarkan persidangan
pelaburan Invest Malaysia 2005 di Kuala Lumpur. Jelas melihat iltizam Perdana
Menteri kita dari hari pertama beliau mengambil alih tampuk kerajaan negara
adalah untuk mencegah dan seterusnya membasmi amalan rasuah di negara ini.
Rasuah boleh membantutkan pembangunan negara, menjejasjan kehidupan rakyat
jelata dan menjejaskan imej negara merupakan hakikat dan kenyataan yang tidak
dapat dinafikan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita yakin dengan
komitmen sehati sejiwa dan sebulat suara, mekanisme yang kukuh dapat difikirkan
dan usaha yang padu lagi berterusan dapat dilaksanakan seberkesannya untuk
memerangi gejala rasuah. Dengan ini, barulah negara kita dapat membangun menuju
ke arah menzahirkan Wawasan 2020 yang diidam-idamkan dan seterusnya menjayakan
agenda negara agar negara kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,
bersaing sama hebat dan bertanding sama kuat di mata dunia. Semangat ‘Malaysia
Boleh!’ yang menjadikan intipati pembentukan bangsa Malaysia terus
berkobar-kobar dan laungan ini akan terus menyinarkan, mengharumkan dan
memartabatkan nama Malaysia.
Baca Juga: Punca dan Kesan Rasuah