Usaha bagi meningkatkan mutu sukan negara
Dalam
mengecapi kemajuan di persada global, negara kita Malaysia telah banyak melakar
kejayaan yang membanggakan dalam Kejohanan Sukan Negara. Antara kejayaan yang
sudah dikecapi adalah kemenangan Azizulhasni Awang yang telah berjaya menempa
nama sebagai juara dunia dalam acara keirin Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di
Hong Kong. Namun begitu, kejayaan tersebut masih belum lengkap seandainya masih
ada skuad sukan tanah air yang lain yang masih lagi belum berjaya di peringkat
global. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif yang sewajarnya diambil oleh
beberapa pihak bagi meningkatkan mutu sukan negara.
Antara langkah yang perlu diambil adalah pihak kerajaan seharusnya menyediakan
infrastruktur yang lengkap untuk kegunaan para atlet negara. Antaranya,
padang bola sepak yang luas dan bersih, gelanggang tenis yang serba canggih dan
lain-lain lagi. Selain itu, peralatan permainan sukan juga seharusnya diperiksa
sebelum digunakan supaya berada dalam keadaan baik. Hal ini adalah untuk
memastikan tiada sebarang masalah atau perkara yang tidak diingini berlaku
ketika latihan sedang berlangsung.
Related post: Karangan
Manfaat Penganjuran Sukan Antarabangsa
Selain itu, pihak sukan juga seharusnya mengupah jurulatih yang lebih banyak makan garam dalam acara sukan tertentu. Hal ini bertujuan supaya atlet sukan mendapat bimbingan yang betul untuk bertanding dengan atlet-atlet sukan negara lain. Di samping mendedahkan atlet sukan untuk mempraktikkan teknik-teknik yang lebih sesuai dalam permainan mareka supaya mereka lebih tangkas daripada sebelum itu. Sebagai contoh, pemain bola sepak sendiri dapat mengesan strategi lawan apabila memerhati posisi lawan mereka. Tuntasnya, jurulatih yang berpengalaman sewajarnya diupah bagi mencorakkan permainan atlet dengan lebih baik.
Seterusnya, pihak kerajaan mestilah membayar gaji yang tinggi kepada
atlet sukan negara. Hal ini adalah untuk memberikan dorongan kepada mereka agar
terus berjaya dalam mengecapi kemenangan. Oleh sebab itu, atlet sukan akan
merasakan diri mereka lebih dihargai dan tidak lagi akan menganggap sukan ini
sebagai kerja sampingan yang boleh dipandang sebelah mata. Mereka pasti akan
berlatih bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa mereka mampu untuk menjadi
juara walau dengan sesiapa jua mereka bertanding.
Akhir sekali, pihak tertentu hendaklah menawarkan kepada mereka beberapa pakej
tawaran seperti pakej penerbangan percuma, pakej pelancongan ke negara-negara
luar dan lain-lain lagi sekiranya mereka berjaya meraih kejayaan. Hal ini
adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka kerana telah berjaya
mengharumkan nama negara. Tuntasnya, penghargaan haruslah diberikan
kepada atlet-atlet yang berjaya sebagai tanda membalas jasa mereka.
Related post: Karangan
Manfaat Penganjuran Sukan Antarabangsa
Justeru, pelbagai pihak seharusnya mengorak langkah bijak bagi meningkatkan
kualiti sukan negara. Antaranya adalah menyediakan infrastruktur yang lengkap,
mengupah jurulatih yang berpengalaman, membayar gaji yang tinggi dan memberikan
penghargaan kepada atlet-atlet negara yang telah berjaya melakar nama Malaysia
di persada dunia sukan. Konklusinya, ambillah langkah yang sepatutnya bagi
membantu para atlet untuk menempa kemenangan kerana yang bulat tidak datang
bergolek, yang pipih tidak datang melayang.