Contoh Karangan Kesan-Kesan Masalah Buli Dan Langkah Mengatasinya
Gejala
buli semakin di sekolah semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa.
Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental
dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang melibatkan
kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula
melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan
kepada mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan
pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu,
langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di
sekolah.
Pada
pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar yang dibuli
akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa
buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan
pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan
pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk
kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan
didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk
membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka
suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan
mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa
takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng
sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka
takut datang ke sekolah.
Selain
itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak dapat
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak
langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa
memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa
memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan
menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan
rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil
memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah
diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru.
Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih
buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk
mengelakkan diri daripada dibuli. Ini menyebabkan prestasi akademik
mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.
Selanjutnya,
gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk
membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang
lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan
sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes
yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya
cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri
sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh
diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah
mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa
wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula
baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari
Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan.
Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan
mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan
nyawa mereka sendiri.
Gejala
buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur, beberapa
langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini hendaklah
dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli di
sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah
menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil
lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap saling
menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan perhatian yang
secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna. Anak yang
berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga
yang bahagia. Mereka tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain
kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa
mereka sejak kecil, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Seterusnya,
peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat. Hal ini
demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain
daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka.
Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka tidak
yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan
dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan
dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya,
mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut.
Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa
buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya,
pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang
terlibat.
Selanjutnya,
tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan
dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas
mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan
buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan
pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh
dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa
tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap
pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke
pusat pemulihan akhlak atau digantung persekolahan untuk memberikan
kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana
terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes
buli amat serius jika dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan
terus bermaharajalela mencari mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan
alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah
dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim
berbunga.
Kesimpulannya,
masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi
semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk
kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan
sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang
bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi
muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya
sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah,
masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.
Baca juga: Punca Dan Cara Mengatasi Gejala Buli