Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Kesan Sosial Globalisasi

   Globalisasi telah meletakkan dunia tanpa sempadan.Menerusi pelbagai media komunikasi, dunia bebas dimasuki oleh pelbagai maklumat yang boleh membawa kepada pelbagai kesan sosial sama ada positif atau negatif kepada negara berkenaan.


   Kesan baik pengaruh sosial kepada pentadbiran ialah dari segi sistem pendidikan yang berkembang maju. Apabila sistem pendidikan maju akan lahir generasi intelek dan berkualiti untuk menjadi pemimpin. Misalnya, minda generasi muda sekarang semakin terbuka ke arah yang lebih baik kerana mempunyai kemudahan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti ke universiti. Golongan muda berpendidikan dan berbakat boleh terlibat dalam pentadbiran sebagai penjawat awam atau kerajaan. Hal ini kerana golongan muda yang berpendidikan dapat mengurus negara dengan baik kerana mempunyai daya saing, kreativiti dan berinovasi tinggi. 

   Kesan baik pengaruh sosial berikutnya kepada pentadbiran ialah rakyat mendapat maklumat dengan cepat dan mudah. Pengaruh globalisasi akan melahirkan masyarakat maya yang berpengetahuan dan bermaklumat. Konsep maklumat di hujung jari memberi peluang kepada rakyat mendapat maklumat berkaitan dasar kerajaan dan pengurusan tadbir urus melalui portal kerajaan. Rakyat juga mudah memahami dasar dan pembangunan negara dan mengetahui tindakan dan polisi kerajaan dalam dan luar negara melalui media massa dan sosial. Misalnya, rakyat boleh memperolehi maklumat dari ‘twitter’ dan ‘facebook’ tentang informasi terkini tentang isu semasa di dalam atau luar negara.
   Kesan baik globalisasi dari aspek pengaruh sosial seterusnya kepada pentadbiran ialah mudah memberi maklum balas rakyat dan kerajaan. Pembangunan sistem teknologi maklumat dalam MSC memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan. Misalnya, pemimpin negara ada blog dan mudah diakses oleh rakyat bagi memberi pandangan dan kritikan berkaitan pentadbiran negara secara online. Kerajaan juga boleh membuat keputusan dan bertindak berdasarkan maklum balas daripada rakyat. Misalnya, pihak kerajaan boleh melihat daripada media sosial mengenai maklum balas rakyat terhadap dasar yang hendak dilaksanakan oleh mereka. 

   Keburukan pengaruh sosial kepada pentadbiran kesan daripada pengaruh globalisasi ialah melalui ancaman laman sosial. Trend orang ramai menggunakan gajet elektronik boleh menjejaskan keharmonian dan menggugat kerajaan. Misalnya, melalui pemaparan budaya yang tidak baik seperti budaya ekstremis yang dianggap tidak salah oleh sesetengah individu dibimbangi akan mempengaruhi pemikiran masyarakat di negara ini yang boleh mengancam keselamatan negara. Jenayah siber seperti penggodaman perisian kerajaan dan peribadi boleh menjadi ancaman melalui laman sosial. Laman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘e-mel’ boleh digondam bagi mendapatkan maklumat akaun bank pemilik akaun laman sosial tersebut yang kebiasaannya dilakukan penggondam yang mahir. 

   Keburukan pengaruh sosial kepada pentadbiran kesan daripada pengaruh globalisasi seterusnya ialah dapat menjadi medium untuk mengutuk kerajaan. Rakyat menggunakan laman sosial dan kemudahan ICT untuk mengutuk kerajaan. Misalnya, melalui ‘facebook’ dan ‘twitter’ rakyat dengan lantang mengutuk tindakan kerajaan mengenakan cukai barangan iaitu GST yang ternyata membebankan kerajaan.  Rakyat juga mengambil kesempatan mengutuk dan menghina pemimpin dan kerajaan yang berkaitan dengan tindakan dan keputusan seperti kenaikan harga minyak, tol dan barangan. Misalnya, ada sesetengah pihak yang menggunakan blog untuk menghentam keputusan kerajaan seperti ‘Malaysian Insider’ dan ‘Malaysia Kini’. 

   Kesimpulannya, globalisasi merupakan satu proses kehidupan yang serba luas (Isu Semasa). Negara perlu membuat persediaan yang mantap untuk menghadapi cabaran globalisasi dari aspek sosial yang dilihat boleh mengancam kehidupan masyarakat Malaysia dan pentadbiran negara agar dapat lebih berdaya saing sama ada di dalam atau di luar negara