Kerja-kerja sukarela mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat. Walaupun begitu, sesetengah anggota masyarakat kita kurang berminat untuk menyertainya. pada pendapat anda, mengapakah mereka bersikap demikian?
"Tangan
yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima". Ungkapan ini
sangat bermakna kepada semua orang. Sesuatu pemberian tidak semestinya harus
dengan wang. Kesukarelawanan ialah suatu konsep berkaitan dengan sumbangan atau
perkongsian masa, sumber, pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan sebagainya
yang dilakukan atau dikongsikan secara sukarela, yakni tanpa paksaan oleh
sesiapa tanpa berbayar atau mengharapkan ganjaran kewangan atau material.
Kegiatan sukarelawan sebenarnya sudah lama beroperasi di negara Malaysia tetapi
tidak disedari ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan belia. Antara contoh
kerja-kerja sukarela ialah memberi bantuan kepada mangsa bencana alam,
gotong-royong dan melakukan rondaan pada waktu malam di kawasan kejiranan.
Antara
manfaat kerja-kerja sukarela ialah dapat melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
pengetahuan terutamanya kepada golongan remaja. Seseorang individu boleh
belajar pelbagai kemahiran yang tidak dapat dipelajari di sekolah mahupun di
rumah. Antaranya ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekelilng,
pengurusan media dan mempelajari ertinya kerjasama. Kesannya, kerja-kerja
sukarela sebegini dapat melatih dan memupuk sifat kepimpinan di dalam seseorang
individu. Hal ini kerana mereka akan memberi motivasi kepada masyarakat yang
lain dan dapat menguruskan sesuatu organisasi tentang sesebuah aktiviti
kesukarelawanan. Tegasnya, seseorang individu hendaklah mencuba
sekurang-kurangnya sekali dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini.
Selain
itu, aktiviti kesukarelawanan juga adalah salah satu alternatif untuk
menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif. Seseorang individu
akan banyak meluangkan masa melakukan aktiviti yang lebih berfaedah seperti
aktiviti kesukarelawanan daripada melakukan gejala sosial. Antara contoh gejala
negatif ialah mengamalkan budaya lepak bersama rakan sebaya, melakukan
vandalisme dan gangsterisme. Secara tidak langsung, remaja akan mempunyai lebih
ramai rakan yang mempunyai aura positif daripada negatif. Seseorang individu
juga akan lebih mengamalkan nilai-nilai murni akibat kesedaran yang telah
dilalui ketika melakukan aktiviti kemasyarakatan. Tuntasnya, remaja haruslah
aktif melibatkan diri dalam program kemasyarakatan agar gejala sosial di negara
dapat dikurangkan.
Meskipun
aktiviti kemasyarakatan mempunyai pelbagai kebaikan, terdapat segelintir
masyarakat yang tidak berminat dengan program ini. Punca dominan sesetengah
masyarakat tidak berminat dengan aktiviti seperti ini ialah kurangnya sikap
kesedaran dengan masyarakat sekeliling. Sesetengah individu akan menggunakan
alasan 'sibuk' dan 'tiada masa' jika diajak untuk sertai. Kanak-kanak juga
lebih gemar bermain dengan gajet-gajet yang telah dibekalkan kepada mereka.
Laman-laman sosial seperti 'Instagram', 'Twitter' dan 'Facebook' lebih menarik
minat mereka berbanding dengan aktiviti kemasyarakatan yang lebih mendatangkan
faedah. Kesannya, anak muda akan lebih bersikap 'seperti katak di bawah
tempurung' yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling dan isu-isu semasa.
Selain
itu, masyarakat yang bersifat kebendaan ataupun materialistik juga merupakan
salah satu faktor. Sesetengah individu tidak mahu terlibat dengan aktiviti
kemasyarakatan. Tidak dinafikan di dunia yang serba moden kita memerlukan duit
untuk meneruskan hidup. Kita hendaklah sedar akan ganjaran yang kita tidak
nampak di akhirat kelak. Secara realitinya, kita akan berasa lebih lega
daripada mendapat duit jika kita berjaya membuat seseorang itu gembira dan
tersenyum. Kesannya, duit yang dilaburkan untuk orang yang berkemampuan akan
menjadi lebih berkat dan lebih melimpah-ruah. Tegasnya, kita hendaklah bijak
membahagikan duit kepada yang lebih memerlukan dan keperluan kita.
Seterusnya,
masyarakat yang bersifat hedonistik dan individualistik juga punca sesetengah
masyarakat tidak menggemari aktiviti kemasyarakatan. Budaya hedonistik ialah
satu budaya atau cara hidup yang suka akan hiburan dan keseronokan semata-mata
tanpa menghiraukan perkara lain manakala individualistik ialah suatu cara hidup
yang mementingkan diri sendiri dan tidak suka akan teguran atau pendapat orang
lain. Segelintir individu yang memiliki sikap ini, mereka tidak akan
menghadirkan diri daripada menyertai aktiviti kesukarelawanan. Mereka lebih
suka hidup dalam dunia mereka sendiri seperti melayari internet, membaca buku
atau melakukan kerja rumah tanpa keluar dari rumah. Tegasnya, masyarakat
Malaysia sememangnya mudah terpengaruh dengan budaya tidak sihat ini.
Kesimpulannya,
kita hendaklah berganding bahu bagi memperkenalkan lagi aktiviti kemasyarakatan
ini. Kita tidak boleh mengharapkan satu pihak sahaja untuk menggerakkan
aktiviti ini. Sebagai amsyarakat yang prihatin, kita haruslah peka akan program
seperti ini dan sentiasa bersedia untuk melibatkan diri. Tidak rugi malahan
banyak manfaat jika kita sertai program seperti ini. Kepuasan yang kita peroleh
tidak akan kita dapat walaupun duit jutaan ringgit. Amalan yang murni ini dapat
dijadikan contoh kepada negara lain seterusnya meningkatkan imej negara ke
persada antarabangsa sebagai contoh negara yang prihatin.