Anda dikehendaki menulis ceramah yang 
bertajuk " Budaya Lepak Bertentangan Budaya Tempatan" . Ceramah itu 
disampaikan sempena sambutan Hari Belia  di tempat anda. Sediakan teks 
ceramah tersebut selengkapnya.
Contoh Karangan
Yang dihormati Tuan Pengerusi 
majlis, pemimpin-pemimpin belia daerah Tenom, tuan-tuan dan puan-puan, 
serta para belia yang hadir pada hari ini. Sebelum saya meneruskan 
ceramah saya ini, terlebih dahulu saya mengucapkan  ribuan terima kasih 
kepada pihak penganjur kerana mengundang saya ke majlis ini untuk 
menyampaikan ceramah yang bertajuk "Budaya Lepak Bertentangan dengan 
Budaya Tempatan".
     Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
    
 Terlebih dahulu saya akan menjelaskan konsep budaya yang terdapat dalam
 masyarakat di negara kita. Kita akan melihat bagaimana budaya lepak 
menimbulkan kesan negatif dalam masyarakat kita. Budaya merupakan cara 
hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakt. Budaya merangkumi segala 
aspek kehidupan termasuklah perlakuan, tutur kata, cara berpakaian, 
ekonomi, politik dan sebagainya. Budaya lepak pula ialah budaya yang 
diamalkan oleh generasi muda, terutama di bandar-bandar besar. Lepak 
bermakna membuang masa tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat. Budaya 
ini diterima dari luar serta meninggalkan kesan negatif kepada 
masyarakat dan juga negara kita, terutama dalam kalangan generasi muda 
kita hari ini.
     Budaya lepak 
memang budaya negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan. Mengapa 
saya mengatakan demikian? Hal ini demikian kerana budaya lepak mengajak 
remaja membuang masa di pusat beli-belah atau di tempat-tempat yang 
menjadi tumpuan orang ramai tanpa arah dan tujuan. Dengan kata lain, 
budaya ini menganjurkan remaja kita membuang masa daripada melakukan 
kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. 
Budaya masyarakat kita tidak pernah mengajar kita supaya membuang masa.;
 sebaliknya  budaya kita mengajar kita menghargai masa. dalam masyarakat
 Melayu ada pepatah yang berbunyi 'masa itu emas". Peribahasa ini 
mengambarkan kepada kita bahawa budaya kita menghendaki kita menghargai 
masa  dan bukannya menghabiskan masa di tempat-tempat tidak berfaedah. 
Oleh itu jelaslah bahawa budaya lepak ialah budaya negatif yang 
memesongkan kita daripada budaya yang sebenarnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
    
 Budaya lepak yang diamalkan oleh remaja kita juga bertentangan dengan 
budaya masyarakat negara kita. Dari segi pergaulan, budaya Timur atau 
budaya tempatan mengehadkan pergaulan antara lelaki dan perempuan. 
Pendek kata tidak ada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam budaya 
tempatan untuk mengelakkan perkara-perkara sumbang daripada berlaku 
dalam masyarakat.  Dalam budaya lepak yang diamalkan hari ini pula, 
pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan merupakan perkara 
yang menjadi amalan para belia dewasa ini. Konflik ini menyebabkan 
remaja lebih gemarkan mengamalkan budaya lepak  kerana mereka memperoleh
 keseronokan sehingga melanggar batas sosial yang telah ditetapkan dalam
 budaya kita. Kesannya, pasti negatif akibat pergaulan bebas yang 
diamalkan oleh generasi muda hari ini. Tidak hairanlah sejak 
kebelakangan ini banyak kes pembuangan bayi berlaku akibat banyak remaja
 yang melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan masing-masing. 
Perkara ini berlaku kerana kesan budaya lepak terhadap para belia hari 
ini.
Sidang majlis yang dimuliakan,
     
 Banyak remaja kini tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka 
terpengaruh oleh budaya lepak. Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata 
yang kasar dan tidak menghormati orang tua. Kata-kata kesat sering 
digunakan terhadap orang yang lebih tua daripada mereka. Akibatnya, 
banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang terdapat
 dalam budaya tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa 
nilai kasar ini sebenarnya tidak terdapat dalam budaya kita. Kesannya 
ialah remaja kita semakin kurang ajar, biadab dan tidak mengamalkan 
nilai murni dan adab sopan dalam kehdiupan harian mereka. Perkara ini 
berlaku akibat pengaruh budaya lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam 
kehdiupan harian mereka bahkan juga telah dijadikan sebagai pegangan 
hidup. 
Sidang majlis yang saya hormati,
    
 Budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes maksiat. Banyak 
remaja dewasa ini melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini 
melakukan kerja-kerja yang berfaedah, sudah tentulah akan menguntungkan 
 diri mereka sendiri, masyarakat dan juga negara. Akibat melepak tanpa 
arah dan tujuan, banyak remaja kita hari ini terlibat dalam 
gejala-gejala negatif seperti menghisap dadah, , mengedarkan dadah, , 
bohsia, memeras ugut, dan sebagainya. Rokok sudah menjadi simbol 
kedewasaan golongan ini. Namun rokok juga membawa kepada ketagihan 
dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu
 mudah dibawa oleh kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar 
belakang teman baru dengan mendalam. Oleh itu, terjadilah kes-kes hamil 
tanpa nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Ketenteraman masyarakat 
kita semakin terancam  oleh kes-kes ini. 
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
   
 Lepak juga merupakan kegiatan negatif yang membebankan  keluarga remaja
 berkenaan. Ibu bapa bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dengan 
harapan agar anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna pada suatu 
hari kelak. Dengan ini, anak-anak diharapkan dapat meringankan bebang 
orang tua mereka. Diharapkan juga anak itu dapat menanggung kehidupan 
orang tuanya kelak. Malangnya yang dapat kita saksikan ialah  golongan 
ini menyebabkan ibu bapa risau akan mereka. Ibu bapa hampa dan kecewa 
apabila mendapati naka-anak mereka runtuh akhlaknya. 
    
 Budaya lepak ini juga turut membebankan kerajaan. Operasi membanteras 
bohsia dan lepak  menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang pihak 
berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.  
Kerajaan juga membelanjaakan jutaan ringgit untuk melancarkan Program 
Rakan Muda untuk membendung kegiatan ini. Alangkah baiknya sekiranya 
peruntukan ini disalurkan untuk tujuan lain daripada membazirkan wang 
untuk menangani gejala sosial ini. Lihat sahaja di sekeliling kita, baik
 di tapak pembinaan mahupun di ladang-ladang,. pekerja di situ 
kebanyakannnya terdiri daripada warga asing. Kemasukan pekerja asing ini
 menimbulkan pelbgai gejala sosial dan ekonomi. Tanpa budaya lepak, 
diyakini kekurangan tenaga buruh  sedikit sebanyak dapat diatasi.
Sidang hadirin sekalian, 
    
 Berdasarkan penerangan yang telah saya berikan tadi, jelaslah bahawa 
budaya lepak bersifat negatif, tidak menguntungkan serta bertentangan 
dengan budaya tempatan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita tidak mahu 
unsur negatif ini menular dalam diri anak-anak kita kerana gejala ini 
ibarat racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para remaja 
pula, budaya ini harus dikikis terus. Oleh yang demikian, 
langkah-langkah tegas perlu  diambil untuk menghapuskan  budaya negatif 
ini daripada melanda masyarakat kita.
    Tuan-tuan dan puan-puan, 
setakat  ini sahaja ceramah saya untuk hari ini. Saya memohon ribuan 
maaf sekiranya ada terkasar bahasa semasa saya menyampaikan ceramah 
tadi. Akhir kata, selamat maju jaya kepada para belia di daerah ini. 
Sekian terim kasih.
                                                  (Dipetik daripada Buku Bahasa Melayu Kertas 2 STPM, muka surat 93-94, terbitan Pearson Malaysia SDN. BHD, Cetakan 2004)