Apabila kita membaca akhbar, kita sering didedahkan dengan
berita berkenaan transformasi sistem pendidikan negara pada alaf baharu ini.
Secara umumnya, transformasi pendidikan negara dapat dijelaskan sebagai satu
perubahan dalam sistem pendidikan negara. Sebelum ini, isu berkenaan
transformasi pendidikan negara tidak banyak didedahkan oleh media untuk tatapan
umum. Jika ada, ia hanya sekadar perbincangan tidak rasmi di kedai kopi atau
warung kecil di pinggir jalan. Walau bagaimanapun, statistis telah menunjukkan
berlakunya peningkatan laporan berkenaan kemorosotan keputusan pelajar dalam
pendidikan negara seperti yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia. Perkara ini turut ditegaskan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri
Muhyddin Yassin dalam majlis yang dihadiri beliau baru-baru ini. Transformasi
sistem pendidikan negara alaf baharu ini diperlukan melalui peranan yang
diberikan oleh pihak kerajaan.
Salah satu langkah transformasi pendidikan negara ialah
memperkenalkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Sistem
Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan dapat dijelaskan sebagai transformasi
pendidikan negara yang tidak lagi berorentasikan terhadap peperiksaan
sepenuhnya sebagai langkah tepat bagi melahirkan modal insan holistik. Apabila
Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) diperkenalkan, pelajar sudah
pasti mendapat peluang yang seimbang terutamanya mereka yang kurang cemerlang
dalam akademik untuk menonjolkan diri dalam aspek kepimpinan, sahsiah diri dan
komunikasi kerana Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) memasukkan
elemen kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum
sebagai penentu gred peperiksaan awam. Oleh itu, melalui SPPK penilaian
kecemerlangan pelajar berasaskan peperiksaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dapat dikurangkan. Transformasi melalui Sistem Pentaksiran Kebangsaan
(SPPK) telah dapat dipertingkatkan dan terbukti melalui pencapaian akademik
pelajar yang semakin menunjukkan peningkatan seperti yang dilaporkan oleh
akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa
transformasi pendidikan negara dapat dilakukan dengan cara memperkenalkan
Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).
Selain itu, transformasi pendidikan negara juga dapat
dilakukan dengan cara memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi. Teknologi maklumat dan komunikasi dapat dijelaskan sebagai
teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan
penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.
Apabila penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
diberikan, negara akan melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), berkemahiran bagi menghadapi
cabaran baru kesan dalam dunia serba maju dan moden ini. Mahu tidak mahu kita
tidak boleh menyingkirkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam era
globalisasi yang dikenali sebagai Dunia Tanpa Sempadan. Ledakan maklumat yang
menjadi pemangkin kemajuan ICT ini memungkinkan kita untuk terus bersaing. Transformasi
pendidikan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dapat diberi
penekanan dengan menyalurkan maklumat dan membekalkan pengetahuan dan ini
terbukti dengan wujudnya dasar dalam menjayakan wawasan 2020 untuk menjadikan
rakyat Malaysia berpengetahuan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa transformasi pendidikan negara dapat dilakukan
melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dengan lebih meluas.
Di samping itu, transformasi pendidikan juga dapat
dibuat dengan cara meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti
dan berkemampuan. Pendidikan prasekolah dapat dijelaskan sebagai pendidikan
yang tidak formal dan fleksibel. Kaedah pembelajaran dan pengajarannya
menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Aktiviti yang dirancang menitik
beratkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang.
Apabila peningkatan kadar penyertaan kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 tahun
ditingkatkan daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada tahun 2012, kanak-kanak
yang berumur 4 dan 5 tahun lebih cepat terdedah dengan pendidikan di alam
persekolahan yang lebih meluas serta meningkatkan kualiti pendidikan
prasekolah. Oleh itu, kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 akan diberikan pendidikan
awal dan ini akan melahirkan generasi kanak-kanak yang cemerlang. Penyertaan
kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 dapat dibuktikan melalui penyertaan semua
kanak-kanak normal melangkah masuk ke sekolah dengan boleh menguasai kemahiran
membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sewaktu sekolah
rendah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penyertaan kanak-kanak berumur 4 dan 5
dapat dipertingkatkan dengan cara memperluaskan akses kepada pendidikan
prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan.
Dalam pada itu, transformasi pendidikan juga dapat dilakukan
dengan memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik. Pendidikan Vokasional
dan Teknik dapat dijelaskan sebagai pendidikan melalui latihan pendidikan
bercorak kemahiran pra vokasional dalam usaha untuk menyediakan mereka memenuhi
permintaan pasaran pekerjaan pada masa hadapan. Apabila Pendidikan Vokasional
dan Teknik dijadikan teras untuk mempertingkatkan kemahiran pelajar khususnya
tenaga kerja dalam negara, mereka akan lebih terdedah dengan pengetahuan asas
dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan dalam dan
luar negara. Oleh itu, pelajar akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan sebagai
tenaga mahir dan separuh mahir dalam sektor perindustrian, perdagangan dan
pertanian. Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha antaranya melaksanakan
program formal pendidikan teknik dan vokasional melalui agensi-agensinya iaitu
Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia Dan
Sukan, dan MARA dan telah melahirkan tenaga mahir dan separa mahir di bidang
teknikal dan vokasional disamping pengetahuan teknologi. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa pendidikan Teknik dan Vokasional dapat dipertingkatkan
melalui pendedahan awal ketika di usia remaja lagi.
Sehubungan dengan itu, tranformasi pendidikan juga dapat
dilakukan dengan memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK). Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dapat
dijelaskan sebagai satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Transformasi berkenaan
membabitkan perubahan dalam bentuk, kandungan penjadualan waktu dan penekanan
kepada pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan ianya akan memberi
penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan
penglibatan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah. Oleh itu,
sifat dan peribadi kental di kalangan murid melalui transformasi sistem
pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang lebih
efektif dapat diperkukuhkan. Anugerah "Tokoh Kanak-kanak",
"Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan
lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan
keberkesanannya dalam penerapan nilai murni melalui Falsafah Pendidikan Negara
ini berhasil. Hal ini jelas menunjukkan melalui negara sistem pendidikan negara
berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) akan melahirkan seorang insan,
ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab,
berakhlak mulia, dan berbakti.
Kesimpulannya, tranformasi sistem pendidikan telah telah
memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan dalam sistem pendidikan
negara kita selama ini. Antara peranan yang dimainkan oleh kerajaan dalam
merealisasikan transformasi pendidikan negara ialah memperkenalkan Sistem
Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), memberi penekanan terhadap penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi, meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah
yang berkualiti dan berkemampuan, memperluaskan pendidikan Vokasional dan
Teknik, dan memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). Oleh sebab pelbagai usaha telah dilakukan dalam
merealisasikan tranformasi pendidikan negara, pelbagai kesan positif telah
diterima. Antaranya adalah peningkatan mendadak keputusan pelajar dalam
Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia serta menaikkan nama
negara dalam melahirkan generasi muda yang berilmu dan bekerjaya. Perkara ini
pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam
ucapan beliau sempena Hari Guru, Guru Penjana Transformas Pendidikan Negara
baru-baru ini. Oleh itu, semua pihak, iaitu orang perseorangan, pelajar,
masyarakat umum, pihak swasta, kementerian dan kerajaan sendiri hendaklah
bekerjasama antara satu sama lain untuk merealisasikan transformasi pendidikan
negara ini. Kerjasama ini amat penting dan bersesuaian pula dengan pelaksanaan
konsep 1Malaysia.