Sejak
 kebelakangan ini, kes keracunan makanan kerap berlaku di 
sekolah-sekolah. Isu ini bukanlah isi baharu kerana sebelum ini kes yang
 sama juga telah sering dilaporkan. Oleh itu, sebagai manusia yang 
dijadikan sebagai khalifah oleh Allah di dunia ini, kita perlu prihatin 
dengan kes keracunan makanan yang hangat dibincangkan ini. Malangnya, masyarakat kita kurang faham akan masalah ini sehinggakan pelbagai usaha
 untuk membendungnya masih kurang berhasil. Persoalannya di sini, apakah
 punca-punca yang menyebabkan belakunya masalah ini? Oleh itu, pelbagai 
pihak harus bekerjasama memikirkan punca-punca dan usaha-usaha untuk 
menangani kes keracunan makanan ini. 
          
Kes keracunan makanan yang sering berlaku di kebanyakan sekolah pada hari ini disebabkan oleh pelbagai punca.
 Antaranya ialah kaedah penyediaan dan penyimpanan makanan yang tidak 
bersih. Pihak pengusaha kantin tidak memastikan bahan-bahan mentah yang 
hendak dimasak, dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Akibatnya, 
sayur-sayuran yang dimasak masih lagi mengandungi sisa-sisa racun 
perosak, manakala bahan-bahan seperti ikan, daging dan ayam pula 
dicemari oleh bakteria yang berbahaya. Tempat penyediaan makanan yang 
tidak bersih seperti tempat memasak yang kotor dan udara yang tercemar 
oleh habuk juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Selain itu, minuman
 dalam tin atau kotak yang mudah basi juga menjadi penyebab berlakunya 
permasalahan ini jika minuman ini dibiarkan terdedah tanpa disimpan di 
tempat yang sewajarnya. Pendek kata, penyediaan makanan secara tidak 
bersih akan menyebabkan kes keracunan makanan berlaku. 
Di samping itu, keadaan persekitaran kantin yang kotor menjadi punca kepada keracunan makanan.
 Lantai kantin tidak pernah dibasuh dan terlalu kotor, terutamanya di 
bahagian tempat memasak. Meja makan tidak pernah dilap dan masih 
terdapat tumpahan makanan yang melekat di atas meja. Makanan yang 
disediakan pula jarang sekali ditutup atau disimpan di tempat yang lebih
 sesuai dan bersih. Kawasan longkang dan persekitaran kantin yang kotor 
pula menjadi tempat pembiakan serangga pembawa penyakit seperti lalat, 
lipas, dan tikus. Tanpa diketahui oleh sesiapa, serangga dan haiwan 
pembawa penyakit ini kemudian akan mensasarkan bahan mentah yang belum 
dimasak, malah makanan yang telah disediakan sebagai makanan. Sikap 
pengusaha kantin yang lalai dan tidak mementingkan kebersihan ini akan 
menyebabkan kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar sekolah semakin
 meningkat.           
Keracunan makanan di sekolah amat berbahaya dan boleh membawa maut kepada murid-murid.
 Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah ini. 
Pengusaha-pengusaha kantin perlu mematuhi syarat-syarat penyediaan 
makanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 
Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan arahan supaya semua 
penjual makanan memakai apron dan menggunakan peralatan yang bersih 
untuk menyediakan makanan, tetapi arahan ini sering diabaikan oleh 
pengusaha dan pekerja di kantin sekolah. Pengusaha-pengusaha kantin 
harus memastikan makanan dan minuman disimpan dalam keadaan yang bersih.
 Mereka harus menutup makanan agar tidak terdedah kepada habuk dan 
lalat. Selain itu, pihak kantin harus memastikan dan menjaga kebersihan 
kantin. Pihak kantin perlu sentiasa membersihkan kawasan kantin, 
terutamanya di bahagian tempat memasak. Tindakan yang tegas tanpa 
kompromi harus dikenakan kepada pengusaha-pengusaha kantin yang ingkar 
kepada arahan tersebut.
Selain itu, murid-murid juga disarankan agar mengutamakan kebersihan diri semasa makan di kantin.
 Murid-murid sepatutnya mencuci tangan terlebih sebelum makan supaya 
makanan yang dimakan tidak tercemar. Pihak sekolah juga boleh 
mengalakkan pelajar menjaga kebersihan diri melalui kempen atau ceramah 
tentang kepentingan kesihatan diri. Melalui kempen dan ceramah ini, 
pelajar boleh dididik tentang cara pemakanan yang bersih. Mereka juga 
dapat dididik untuk memilih makanan yang bersih serta berkhasiat demi 
kesihatan diri. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan kes keracunan 
makanan, malah dapat memupuk generasi muda tentang kepentingan menjaga 
kebersihan pemakanan yang berkhasiat.
Selanjutnya,
 pihak sekolah hendaklah memastikan kawasan sekolah terutamanya kantin 
sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran, di samping memastikan 
pengusaha kantin mengutamakan mengikut pertauran pada setiap masa.
 Pihak sekolah perlu mengarahkan pengusaha kantin membersihkan kawasan 
persekitaran kantin sekiranya kotor. Meja, kerusi dan peralatan yang 
lain yang digunakan oleh pelajar untuk makan juga mestilah bersih. 
Kualiti makanan yang disediakan kepada murid juga perlulah dipantau 
selalu oleh pihak sekolah agar tiada makanan yang basi atau tercemar 
dijual kepada murid. Pihak sekolah harus memastikan pelajar-pelajar juga
 mempunyai tanggungjawab agar tidak membuang sisa-sisa makanan di 
merata-rata kawasan sekolah terutamanya kantin.
Kesimpulannya, 
keracunan makanan yang berlaku di sekolah hendaklah dipandang serius 
oleh pelbagai pihak. Hal ini demikian kerana kantin sekolah merupakan 
tempat yang menjual makanan kepada murid sekolah dan murid pula tiada 
pilihan lain untuk mendapatkan makanan. Kesihatan murid yang datang 
bersekolah untuk menimba ilmu wajib dijaga. Maka, sewajarnya kantin 
sekolah dipersalah apabila berlakunya kes keracunan makanan. Pihak 
sekolah pula perlu memantau kantin sekolah dari semasa ke semasa agar 
kes keracunan makanan tidak berulang lagi. Janganlah apabila sudah 
berlaku barulah hendak beringat peribahasa “sudah terantuk baru 
tengadah”.