Ketika mengharungi arus globalisasi
dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya
dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah
dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi
Nasional, kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan
pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian
kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa
sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan
juga mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk
mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita.
Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor
pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor pertanian?
Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”, semua pihak
yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di
tanah air.
Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki
prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor
pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk
mengusahakan petanian, nescaya hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar
sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak
perkembangan sektor industri, petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains
dan teknologi yang canggih demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan
penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan
berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka
benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird”
dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya,
kaum petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi
dalam sektor pertanian.
Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan
sektor swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap
sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan
pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan
teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan
bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan
pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing
dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik dan
sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di
situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel
atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka benih yang
bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang canggih.
Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan
komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh
bank, terutamanya Bank Agro untuk pekebun kecil. Dengan modal yang mencukupi,
pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga
serta baja kimia untuk menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro
telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk
mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak
kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh
itu, dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan
pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya
menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan
miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.
Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan
oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang
tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang digalakkan untuk
memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani
kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Sehubungan dengan itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan
yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini dapat memberikan manfaat
kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa “serampang dua mata.” Rentetan
daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus
mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam
tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang
teratur dapat memantapkan harga produk pertanian. Antaranya Kementerian
Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian
supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak
bertanggungjawab.
Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut
dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan
kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan.
Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap
seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari
bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati
buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan,
menikmati lauk ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping
melegakan fikiran yang kusut. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.
Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada
Kementerian Pelancongan Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan
yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap
desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.
Natijahnya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya
sektor ini berprestij kepada generasi muda. Pembangunan sektor dapat
mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk
kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang
seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,
jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu
mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.