Apabila disebut media, apa yang akan tergambar di minda warga Malaysia kini ialah blog dan bloggers.  Blog, salah satu daripada bentuk komunikasi media letronik, menjadi  begitu hangat diperkatakan adalah kerana kenyataan yang dibuat oleh  pihak kerajaan, yang mendapati blog danbloggers (individu  atau sekumpulan yang mempunyai dan menjadi pengamal laman blog  internet) mempengaruhi orang ramai dalam menentukan kemenangan pada  seseorang calon pilihan raya.
Kenyataan  peri pengaruhnya blog ini seterusnya disahkan lagi apabila Barack Obama  difaktakan sebagai menggunakan laman blog untuk meraih kemenangan dalam  pemilihan presiden Amerika yang lalu. Kini, media yang sama – blog –  dijadikan sebagai antara bentuk komunikasi terpenting dalam merapatkan  hubungan diplomatik antarabangsa, apabila Obama menghantar utusan ucapan  menyambut hari ulang tahun Revolusi Iran, melalui blog. Begitulah juga  dengan Israel.
Sesiapa  yang mempunyai luangan masa dan melawati blog-blog yang ada, mereka  akan mempunyai maklumat, berita, fakta, pandangan, komen, kritikan,  hujahan dan sebagainya selain blog yang khusus dalam bidang fotografi,  pendidikan, sains, agro, robot, ikan, tisu kultur, dan… apa saja yang  ada dalam persada ilmu dan pengetahuan masa kini.
Dengan  spektrum peranan media yang sebegini luas, terkini, terarah, dan fokus,  dan dapat disebarkan pula dalam sekelip mata ataupun hanya dengan  jejari, sudah tentu impaknya amat besar terhadap masyarakat, hatta  negara.
Dasar  Langit Terbuka, ternyata bukan saja merancakkan lagi sebaran dan  tebaran ilmu serta maklumat dan pengetahuan melalui media, tetapi turut  menyulitkan usaha untuk mengawalnya.Dunia tanpa sempadan, global, telus dan bermaklumat, yang bergerak di atas landasan kebebasan bersuara, hak asasi manusia,  terutamanya paksi manusia adalah bersaudara, menjanjikan suatu  pembaharuan dan perubahan bakal berlaku dalam satu-satu masyarakat, juga  negara.
Sememangnya,  menjadi hasrat dan cita-cita mana-mana negara untuk memanfaatkan media  ini bagi pembangunan negara. Jika ada negara yang menafikannya, maka  tunggulah pelbagai tindakan, baik dari pihak kerajaan mahupun NGO  terutamanya, yang akan bangkit membangkang dan menentangnya.  Terpentingnya, suara penentangan ini tersebar dalam beberapa saat saja,  dan ruang sebarannya adalah seluruh dunia!
Bagi  negara seperti Malaysia, yang masih lagi berusaha untuk menjadi sebuah  negara yang maju, dan mesti terus kekal membangun dari segi ekonominya,  peranan media menjadi semakin ditagih. Tujuannya ialah untuk pembangunan  negara… dan status negara-bangsa yang tertempel bersamanya, menjadikan  usaha menarik peranan media ke dimensi pembangunan negara bangsa begitu  mencabar.
Sebabnya,  Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik. Pertamanya, Malaysia  adalah pada asalnya negara bangsa Melayu, tetapi mempunyai warganegara  yang berasal daripada keturunan lain seperti Cina dan India.
Keduanya,  selepas 50 tahun memerintah sendiri, rakyatnya yang berbilang itu,  sudah bertukar wajah, selaras dengan perubahan di negara-negara lain,  terutamanya Barat yang juga mempunyai kisah kerakyatan yang sama. Mereka  menuntut supaya mereka dilayan setaraf dengan bangsa Melayu kerana  walaupun mereka berketurunan pendatang, mereka telah dilahirkan di  Malaysia.
Ketiganya,  alunan hak asasi manusia sejagat, keadilan, kesamarataan, keterbukaan,  merupakan arus mega bertaraf global semasa. Ini diikuti oleh penentangan  terhadap diskriminasi dan korupsi, yang begitu popular di negara-negara  yang masih dalam program pembangunan. Projek dan program kemajuan yang  dilaksanakan begitu banyak, besar dan serentak. Ini mengundang masalah  dalam pelaksanaan, dan terbuka kepada pelbagai rupa korupsi dan kroni.  Apatah lagi, apabila mereka yang terbabit dalam barah pembangunan negara  ini ialah para pemimpin dan warga politik utama negara.
Penggabungan ketiga-tiga fakta di atas menjadikan wajah warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai faction (puak). Antaranya ialah:
- puak yang mempertahankan hak bangsa asal – Melayu dan bumiputera lain;
- puak yang menuntut supaya negara-bangsa Malaysia menjadi milik warganegara Malaysia secara totalnya, iaitu bangsa Malaysia;
- puak campuran, iaitu yang terdiri dari golongan Melayu yang sudah bersedia untuk menerima warga lain sebagai taraf yang sama;
- menerima warga lain sebagai taraf yang sama; dan
- puak yang mengasaskan perjuangan berteraskan kemanusiaan, dan bersedia menerima nilai-nilai agama.
Dengan  yang demikian, pembangunan negara-bangsa di Malaysia, menjadi begitu  penting dan besar. Bahkan berada di persada teratas daripada pelbagai  agenda lain. Berbekalkan taraf pendidikan yang ada, ruang kebebasan yang  diizinkan, dan kehadiran kecanggihan media yang sedia terhidang dan  sering diperkasakan, maka peranan mereka yang terlibat dalam media massa begitu besar dan penting, terutamanya menjaga negara terus membangun dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Ini  menjadikan pemain media ini perlulah terdiri daripada mereka yang  benar-benar berkelayakan. Mereka ini perlu mempunyai kefahaman mendalam  tentang kenegaraan; mempunyai pengetahuan yang luas dalam hal  pentadbiran dan pemerintahan termasuklah undang-undang, khususnya  Perlembagaan.
Aspek  di atas hanyalah untuk mengatasi atau menjawab isu-isu semasa yang  dicetuskan oleh pelbagai pihak, terutamanya cetusan negatif dari  golongan pembangkang dan penentang kerajaan, yang ‘terpelihara’ akibat  ruang demokrasi, yakni ruang fahaman politik kenegaraan Malaysia. 
Bagi  aspek-aspek yang lebih mendasar ialah falsafah, ideologi, dan  pemikiran, yang menjadi premis utama untuk melihat negara terus  membangun di atas paksi dan landasan yang kukuh, tahan lasak dan  berpanjangan.  Ini diperlukan kerana cabaran semasa juga perlu difahami.  Lagipun, cabaran semasa ini boleh merencatkan segala strategi dan  perancangan yang telah dilakarkan, yang bererti hanya jauhari yang kenal  manikam.
Biasanya,  aspek yang mendasar inilah yang sukar difahami oleh massa, dan pengamal  media pula akan mudah terpesona dengan pejuang-pejuang politik yang  dangkal, berkepentingan dan tidak faham pun tentang kenegaraan. Ini  boleh bukan saja membantut pembangunan, malah mengancam kedaulatan  negara itu sendiri. Sebabnya, anasir luar amat berminat untuk membiayai  mereka yang mudah lupa daratan dan kulit asalnya.