Hutan  merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan telah membekalkan  negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan.  Malaysia juga terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang sentiasa  menjadi daya penarik kepada pelancong-pelancong asing. Walaupun hutan  telah membantu negara mempelbagaikan sumber ekonominya, namun  akhir-akhir ini, hutan menghadapi ancaman kemusnahan daripada  pihak-pihak yang tamak dan hanya mementingkan kekayaan semata-mata.  Peningkatan aktiviti pembalakan haram bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan telah menyaksikan dampak yang ketara kepada negara. Jika masalah ini  tidak ditangani, sudah tentu kita akan menghadapi 1001 masalah di hari  muka.
    Pembalakan  haram mampu menyumbang keapada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang  tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada  hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar  sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat,  sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan  sekitar. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli  mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung.  Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. setiap tindakan yang  kita ambil pastinya akan memberi impak keapada orang lain.
    Selain itu,  kemusnahan habitat flora dan fauna juga merupakan kesan aktiviti  pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal  semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar.  Kemusnahan hutan bermaksud musnahnya tempat tinggal hidupan-hidupoan  yang tinggal didalamnya. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal  kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih  teruk lagi akan berlaku. Contohnya, kepupusan sesuatu spesies hidupan.  Justeru, langkah yang proaktif perlu lah dilaksanakan bagi mengelakkan  perkara yang lebih parah lagi daripada berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jangan biarkan cucu-cicit kita tertanya-tanya, apa itu orang utan, harimau gajah, dan burung kakak tua.
    Di samping itu, pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu di negara kita.  Aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat. Oleh yang demikian, kita perlulah menghargai anugerah ciptaan tuhan yang tidak ternilai harganya ini. Mampukah kita hidup selesa dalam keadaan yang panas sebegini? Tepuk dada, tanya selera.
    Selain  berfungsi sebagai peparu bumi, hutan juga bertindak seperti span di  kawasan tadahan hujan. Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan  menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan  mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekaligus  menjejaskan bekalan air. Keadaan ini mendatangkan kebejatan kepada  penduduk sekitar. Tamsilnya, krisis air yang pernah berlaku di Lembah  Klangdan Melaka menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti memasak,  mandi dan membasuh pakaian terganggu. Oleh itu, kita seharusnya sedar  akan kepentingan hutan dalam kehidupan kita. Sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya akan memberi kemudaratan kepada kita.
    Intihanya,  kita harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus  meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Pihak kerajaan haruslah mengambil  tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan  pembalakan haram. Orang awam pula hendaklah melaporkan sebarang  pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan. Dengan adanya  kerjasama bagaikan aur dan tebing, sudah pasti masalah ini dapat  diatasi. Seperkara lagi, kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi  bumi ini daripada nenek moyang kita, tetapi kita hanya meminjamnya  daripada anak cucu kita.