Warga
emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan
negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak
warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk
mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati
kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan
dalam isu ini?
Kerajaan
seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan
harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu
langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam
perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau
rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka,
langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.
Malah,
kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah
yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas,
berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah
yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua
yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka
bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.
Selain
itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas
ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan
pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan
generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga
emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi
remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.
Lantaran
itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan
kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan
warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan
keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih
menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan
idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.
Jadi,
warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang.
Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang
berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh
masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama
ini.