Contoh Karangan Usaha-usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak
Ketika negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat, ilmu kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan tidak mengalami anjakan paradigma. Walhasilnya, pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan. Apabila peniaga kita meraih keuntungan yang bagai tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam gelombang inflasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.
Untuk
melahirkan pengguna yang bijak, media massa memainkan peranan yang signifikan.
Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak media cetak
terutama akhbar perlu menerapkan pengetahuan atau hak-hak pengguna kepada
khalayak ramai. Hal ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang
besar kepada masyarakat kita. Dengan bantuan media, pengguna akan mengetahui
cara-cara yang berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh
peniaga. Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana,
wawancara, forum dan ceramah tentang hak pengguna. Lantaran, suri ramah tangga
yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat pengetahuan
tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung.
Badan-badan
NGO perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan untuk mengadakan “Kempen Pengguna Yang Bijak”. Dalam
konteks ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu
memikul amanah untuk mengadakan kempen tersebut dari semasa ke semasa supaya
orang ramai benar-benar mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Aktiviti
tentang ceramah, pameran, forum, persidangan, pertandingan koir, peraduan
melukis poster dan menulis esei tentang hak pengguna harus diadakan bersempena
dengan kempen tersebut. Khalayak ramai akan mengetahui cara untuk menuntut
pampasan ketika membeli barangan atau mendapat perkhidmatan yang tidak bermutu.
Orang ramai juga diberitahu tentang cara untuk membuat aduan ketika menghadapi
penyelewengan peniaga seperti menaikkan harga dengan sesuka hati, menjual
barangan yang telah lapuk tarik, menjual barangan yang tidak selamat atau
mengancam kesihatan mereka. Keyakinan perlu diberikan kepada pengguna supaya
berani menuntut hak mereka, dengan prinsip “berani kerana benar”.
Selain
itu, kurikulum dan kokurikulum tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah
pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak. Kata orang
tua-tua, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantas, ilmu
kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku
sekolah. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan
pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga
digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun
jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti
perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini
amat penting supaya anak muda kita akan menjadi jauhari yang mengenal manikam,
iaitu menjadi pengguna yang bijak. Gara-garanya ketika melangkah ke kedewasaan,
golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh
pengguna yang tamak dan tidak beramanah.
Walaupun
hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna
yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang
hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka. Rentetan daripada
itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang akibat
hutang keliling pinggang. Pengguna harus sentiasa membanding harga di premis
yang berbeza sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan
keperluan dan bukan berdasarkan nafsu. Ketika berbelanja, pengguna dinasihati
supaya menyediakan belanjawan dan senarai barangan yang perlu dibeli.
Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak berbelanja secara berlebihan terutamanya
menghadapi jualan megah, jualan murah dan promosi yang istimewa. Ingatlah
peribahasa, “mulut disuap pisang, buntut dikaitkan onak.” Jangan kita
mudah terpengaruh oleh pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita
meminimumkan penggunaan kad kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang
tidak berguna. Natijahnya pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur baju pada
badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga berhutang kepada ceti
haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit.
Bak
kata peribahasa, “alah membeli menang memakai” harus dihayati oleh umat
sejagat. Setiap pengguna harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli.
Misalnya, ketika membeli sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang
produk itu dan mengkaji kandungannya, tarikh lupuk serta fungsi penggunaan.
Barangan yang disahihkan oleh SIRIM atau ISO (Pertubuhan Pemiawaian
Antarabangsa) sepatutnya menjadi pilihan kita. Pengguna yang bijak harus
mengutamakan faktor keselamatan, kesihatan dan mesra alam terhadap sesuatu
produk. Tamsilnya kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan
kualiti alam sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin
yang mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar. Dengan
kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan yang tahan
lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Secara
tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna dan ilmu
kepenggunaan. Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri. Pengguna
harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang berniat
jahat. Kempen Konsumen Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema,”Perubahan
Bermula Dengan Saya” harus dihayati oleh setiap pengguna.
Baca Juga: Hak dan Tanggungjawab Pengguna.