Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Usaha-Usaha Menjaga Kebersihan Sungai

Karangan SPM- Contoh Karangan Usaha-Usaha Menjaga Kebersihan Sungai


Pernahkah anda membayangkan jika oksigen dalam udara yang kita nikmati hari ini lesap begitu sahaja? Sudah tentu kita tidak mampu untuk hidup kerana ia merupakan nadi utama dalam kehidupan kita sebagai manusia. Demikian juga sungai-sungai yang mengalir di kaki-kaki gunung yang semakin diancam pencemaran akibat perbuatan manusia demi mengejar keuntungan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap perbuatan mereka. Sungai merupakan sumber utama kehidupan jika kita lihat pada sejarah ketamadunan di Mesir apabila Sungai Nil menjadi sumber ekonomi, jalan pengangkutan dan sumber tenaga mereka. Alangkah ruginya kita dengan kemajuan teknologi dan kemampuan manusia hari ini jika tidak dimanfaatkan ke arah memelihara dan menggunakan khazanah alam ini untuk faedah bersama. Oleh itu, mustahak untuk kita mengenal pasti usaha-usaha untuk menjaga kebersihan sungai kita supaya tidak terlambat persis peribahasa Melayu, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

 

Prakarsa utama dalam memastikan kebersihan sungai secara khusus dan kebersihan alam sekitar secara amnya adalah dengan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sungai. Langkah untuk membuka mata setiap ahli masyarakat tentang kebersihan sungai tidaklah mustahil kerana ianya bermula daripada diri kita sendiri. Jika kita melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai seperti memancing atau hanya melewati kawasan sungai, kita hendaklah memastikan tiada sampah atau ia dibuang dengan betul ke dalam tong sampah yang disediakan. Jika tiada kemudahan untuk membuang sampah, kita perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan sampah yang kita hasilkan dibuang ke tempat yang betul. Ini adalah senario utama di negara kita di mana masih terdapat sampah sarap yang terapung-apung di sungai sehinggakan pihak berkuasa terpaksa berbelanja besar untuk membuat pusat tapisan sampah di sungai-sungai yang kritikal tahap pencemarannya. Jika setiap anggota msyarakat menitipkan sifat sayang akan kebersihan sungai dan kawasan sekitarnya, sudah pasti tiada pencemaran berlaku dan sungai kita mampu menjadi seperti sungai-sungai di negara Jepun dan Korea Selatan.

 

Pada masa yang sama, pemerkasaan penguatkusaan undang-undang oleh pegawai kerajaan atau pihak berkuasa wajar dilakukan. Pemantauan yang kerap dalam melihat kebersihan sungai serta penggunaan tahap kebersihan yang lebih tinggi dalam analisis kebersihan air di sungai adalah inisiatif yang terbaik. Peribahasa Melayu berkata, menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan persis senario dalam memastikan kebersihan sungai kita dimana tahap kebersihan optimum hendaklah menjadi kayu pengukur supaya pencemaran dapat dielakkan dan simbiosis ekosistem semula jadi terjamin. Sungai yang bersih berpotensi besar sebagai sumber air mentah dan membolehkan aktiviti ekonomi seperti penternakan ikan, aktiviti sukan dan riadah dijalankan dengan baik tanpa risiko pencemaran. Justeru, tindakan yang tegas dan pantas perlu dilaksanakan pihak berkuasa sekiranya berjaya menangkap individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti pencemaran di mana kebersihan sungai terjejas seterusnya boleh mengakibatkan pelbagai masalah lain. Integriti dan komitmen daripada pihak berkuasa juga perlu dititikberatkan agar masalah seperti rasuah tidak berlaku sekaligus mengancam kepercayaan terhadap organisasi yang sepatutnya menunaikan amanah rakyat.

 

Di samping itu, kebersihan sungai di negara kita terancam kerana kerancakkan pembangunan yang tidak terurus dengan baik. Kemajuan pembangunan adalah kepentingan hakiki negara namun jika ia memudaratkan alam semula jadi yang menjejaskan ekosistem kehidupan persekitaran kita maka ia perlu dilaksanakan dengan lestari. Mutakhir ini, pelbagai inisiatif dapat dilakukan dalam memastikan pembangunan secara lestari menjadi realiti dan kebersihan sungai dapat dijamin. Perancang bandar dan desa yang bertanggungjawab dalam bidang ini seharusnya memastikan pembinaan kawasan industri dan pertanian tidak terletak berdekatan dengan sungai. Hal ini kerana kecuaian atau sikap tidak bertanggungjawab pengusaha kilang atau ladang membuatkan mereka untuk membuang sisa toksik daripada produk mereka ke dalam sungai tanpa perlu melibatkan kos. Kejadian pencemaran sungai di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang perlu menjadi titik tolak dalam memastikan sisa toksik industri dilupuskan dengan cara yang betul. Pembangunan lestari bukan sahaja memberi faedah kepada manusia dari sudut pembangunan malah memelihara ekosistem alam semula jadi dimana kita juga bakal mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

 

Akhir sekali, usaha yang dapat dilaksanakan dalam memastikan kebersihan sungai dijaga adalah dengan mewartakan sungai sebagai pusat komuniti. Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), terdapat sebanyak 185 lembangan sungai di Malaysia dan jika setiap satu daripadanya dijadikan sebagai “anak angkat” kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara ia dapat membantu mengubah imej sungai di negara kita. Konsep anak angkat ini menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa dalam memastikan kebersihan sungai dipulihara dan mengangkat semula potensi sungai sebagai sumber ekonomi masyarakat setempat. Dengan campurtangan pihak berkuasa dan bantuan daripada sektor swasta, insentif untuk memastikan inisiatif penjagaan kebersihan sungai dapat disalurkan secara terus dan disaksikan sendiri oleh penduduk setempat. Sekiranya berjaya, masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya sungai yang bersih dan bakal menarik kehadiran pelancong asing dalam menikmati keindahan sungai di samping melihat hidupan akuatik dengan kejernihan air sungai yang dimiliki. Intihannya, pengurusan secara langsung daripada pihak yang berkuasa dan mampu akan memastikan impian dalam memastikan setiap sungai di dalam negara mencapai tahap kebersihan yang diidamkan tercapai di suatu masa kelak.

 

Tuntasnya, pelbagai usaha boleh dilaksanakan smua pihak dalam memastikan kebersihan sungai-sungai kita terjaga. Dek kerana kerakusan manusia mengejar kekayaan tanpa memikirkan akibatnya kita akan kehilangan khazanah alam yang merupakan nadi kehidupan hampir seluruh makhluk di dunia ini. Segala usaha mungkin akan mengambil masa, tetapi sekiranya ada keazaman dan perancangan yang rapi, ia pasti dapat dilaksanakan dengan baik.  Semuanya bergantung kepada kerjasama dari semua pihak iaitu pihak kerajaan yang mempunyai kuasa dan sumber kewangan, masyarakat yang memberi sumbangan sumber manusia dan pihak individu yang memberi tenaga dan idea. Jika sokongan dan dorongan yang padu diberikan daripada akar umbi, maka tidak mustahil program memelihara kebersihan sungai daripada tercemar untuk berjaya. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni  bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.