Karangan SPM- Contoh Karangan Cara-Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa
Dalam meniti arus kemodenan yang serba mencabar akal
dan minda kita terbit satu polemik yang menjadi wadah perbincangan secara
global. Pola peningkatan jenayah antarabangsa semakin membimbangkan kita
sebagai penghuni ibu pertiwi ini dan juga masyarakat dunia secara amnya.
Jenayah pemerdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah dan senjata
api yang kian melarat sehingga memakan nyawa ribuan manusia yang tidak bersalah
perlu ditangani secara kolektif. Persis kata mutiara, berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing yang membawa maksud semua pihak harus bersama-sama
menyumbang tenaga dalam menyelesaikan masalah ini dan menikmati hasilnya di
waktu kelak. Oleh itu, kita perlu mencari cara-cara terbaik untuk membanteras
jenayah antarabangsa supaya kesejahteraan sejagat dapat dicapai.
Prakarsa utama dalam memastikan jenayah yang
melibatkan negara asing ini tidak berlaku adalah dengan mempunyai hubungan
multilateral yang kukuh. Pucuk pimpinan negara kita sudah pun memastikan kita
sentiasa mempunyai hubungan multilateral dengan negara asing apabila menyertai
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN. Penyertaan negara dalam
organisasi internasional yang melibatkan pelbagai negara membolehkan kita
mendapat bantuan ketenteraan dan teknologi keselamatan yang terkini daripada
negara yang lebih maju. Namun begitu, kewujudan negara berkuasa veto telah
merencat usaha untuk mencapai keamanan sejagat. Hal ini kerana terdapat jenayah
antarabangsa berpunca daripada tindakan negara berkuasa veto ini dalam
mendapatkan atau menjaga kepentingan mereka. Sekiranya setiap negara
mengamalkan sikap toleransi dan terbuka dalam mengejar kemajuan, sudah pasti
impian keamanan sejagat tidak mustahil.
Pada masa yang sama, kita wajar mengambil kesempatan
akan kemajuan teknologi mutakhir ini. Perkongsian data atau maklumat yang
berkaitan jenayah antarabangsa akan membantu dalam membanteras konflik yang
mengganggu keharmonian global. Kerjasama antara agensi keselamatan antarabangsa
seperti Interpol dengan agensi keselamatan tempatan seperti Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) hendaklah digalakkan. Sebagai contoh, kita dapat lihat di dada
akhbar dan siaran berita di televisyen akan tindakan pantas PDRM menangkap
individu yang terlibat dengan fahaman ekstrimis dan berkompolt untuk melakukan
jenayah seperti pengeboman dan sebagainya. Kecekapan anggota keselamatan negara
kita seharusnya dipuji kerana dengan tindakan pantas dan bantuan maklumat
daripada agensi keselamatan antarabangsa telah memastikan tiada insiden ekstrim
yang berlaku di dalam negara kita.
Selain itu, cara yang dapat dilakukan bagi mengelakkan
aktiviti jenayah antarabangsa adalah dengan merapatkan jurang ekonomi antara
negara maju dengan negara yang ketinggalan. Faktor tekanan ekonomi dan
kekurangan sumber telah menyebabkan jenayah seperti pemerdagangan manusia
berlaku dek kerana mereka terpaksa mencari jalan demi mencari sesuap nasi.
Maka, negara-negara maju seharusnya bersikap prihatin akan nasib negara lain
yang sukar untuk menjalankan aktiviti pembangunan dengan berkongsi teknologi,
ilmu pengetahuan dan model ekonomi yang dapat membantu mereka menjadi negara
yang lebih baik berbanding sebelum ini. Bantuan pakar-pakar ekonomi dan idea
bernas daripada generasi muda diperlukan dalam mewujudkan kesamarataan ekonomi
dunia yang sekaligus mensejahterakan ketamadunan manusia hari ini.
Akhir sekali, tindakan jelas yang dapat dilakukan
dengan pantas dalam membanteras jenayah antarabangsa adalah dengan memastikan
sempadan negara dikawal ketat. Kita tidak boleh menafikan kecekapan anggota
keselamatan kita dalam menjaga sempadan negara tetapi penjenayah hari ini
semakin licik dan bijak untuk meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa.
Tamsilnya, anggota keselamatan negara seharusnya mengadakan kerjasama rondaan dalam
kalangan negara berjiran seperti di sempadan laut dan darat negara. Kerjasama
ini dapat mencegah kemasukan warga asing sacara haram yang boleh mengancam
keselamatan negara. Hal ini berlaku kerana kedudukan Malaysia dengan negara
jiran terutamanya Indonesia dan Thailand yang kondusif kepada kemasukan
pendatang asing tanpa izin. Dalam hidup berjiran kita seharusnya membantu satu
sama lain dalam menyelesaikan masalah bak kata peribahasa Melayu, ibarat aur
dengan tebing.
Konklusinya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh semua
pihak dalam membanteras jenayah antarabangsa. Pemimpin-pemimpin negara harus
berganding bahu memanifestasi fikiran dalam mengorak langkah untuk membanteras
kes jenayah antarabangsa sekaligus memastikan keselamatan sejagat terjamin.
Kepentingan yang bersifat menguntungkan satu pihak sahaja dimana sebelah pihak
akan menerima akibat haruslah dibuang dan diselesaikan dengan bersikap
toleransi dan terbuka. Setiap nyawa di muka bumi ini berharga dan alangkah ruginya
jika tiada tindakan diambil dalam membanteras jenayah antarabangsa yang mungkin
membunuh seorang bakal doktor atau bakal pemimpin di masa hadapan. Semoga kita
dikurniakan pemimpin yang berwibawa serta masyarakat yang madani agar keamanan
dan keharmonian global dapat dicapai dengan jayanya.