Karangan SPM- Kesedaran sivik semakin kurang diamalkan (Spm 2016
Soalan 2 :
Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun begitu, sikap ini semakin kurang diamalkan dalam kalangan masyarakat. Huraikan punca-punca wujudnya keadaan ini dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.
Anasir vandalisme, membuang sampah merata-rata, merokok di tempat larangan, dan mengotori tempat-tempat awam merupakan fenomena biasa yang mudah dilihat dalam kalangan masyarakat kita. Sekali imbas, kita seakan-akan terfikir bahawa masyarakat kita masih belum bertamadun sedangkan kita sudah memasuki era milenium. Walaupun tahap celik akal masyarakat juga dikatakan semakin tinggi, namun tingkah laku yang mempamerkan tahap kerendahan disiplin masih berleluasa juga. Malu dengan imej kita terhadap masyarakat luar, semua pihak hendaklah lebih prihatin untuk mengenal pasti punca gejala ini semakin luntur dan seterusnya mengambil beberapa langkah praktikal untuk memantapkan semula tahap disiplin.
Faktor prima yang membawa kepada menularnya gejala negatif ini adalah disebabkan oleh lunturnya semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Hal (fenomena) ini terjadi disebabkan generasi muda tidak pernah merasai susah payah dalam membangunkan sebuah negara. Empat puluh lima peratus kalangan rakyat Malaysia dilahirkan setelah negara mencapai kemerdekaan. Ramai sekali dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengambil mudah tentang tanggungjawab terhadap negara, malah ada yang mempersendakan kemerdekaan negara. Oleh sebab itu, golongan ini menjadi kelompok buta sejarah lalu berkuburlah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Apabila roh patriotisme mula luntur daripada jiwa dan sanubari, runtuhlah tembok kekuatan sivik.
Selain itu kebankrapan nilai-nilai murni dalam masyarakat turut menjadi hambatan kepada merosotnya kesedaran sivik. Faktor tersebut disebabkan manusia hari ini semakin hilang semangat setia kawan, kurang menghormati hak orang lain dan tidak menghargai hak dan kepentingan awam. Dalam kalangan jiran, semangat kejiranan telah luput dan individu lebih selesa hidup secara bersendirian, ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Apabila rasa hormat terhadap orang lain semakin hilang, justeru pupuslah budaya tegur-menegur yang secara tradisinya menjadi tautan dalam kalangan masyarakat. Dengan sebenar-benarnya, anutan terhadap nilai kebendaan dan individualistik telah membentuk suatu pola baru masyarakat yang hidup cara ‘nafsi-nafsi’. Kesudahannya, terbentuklah suatu pola masyarakat yang bersikap anarkis, menggunting dalam lipatan dan menjadi duri dalam daging terhadap keharmonian masyarakat.
Pemerkasaan semula doktrin sivik hendaklah dimulakan melalui sistem pendidikan. Langkah ini difikirkan sangat pragmatik kerana sistem pendidikan sahaja yang mampu membentuk acuan dan hala tuju rakyat. Sehubungan dengan perkara yang berkaitan, anak-anak yang masih di bangku sekolah mudah dibentuk pemikiran dan sikap mereka. Seandainya betul cara yang dididik, nescaya betul jugalah hala tuju dan landskap pemikiran rakyat. Suatu kaedah yang lebih praktikal, aspek pengetahuan sivik hendaklah digabungjalinkan dalam subjek akademik. Strategi tersebut lebih relevan daripada murid sekadar diajar menghafal fakta dan dalil semata-mata. Sehubungan dengan itu, isi kandungan kurikulum seperti dalam subjek bahasa dan kemanusiaan hendaklah hendaklah wujud nilai penyerapan yang tinggi terhadap pemerkasaan sivik. Apabila usaha ini dapat memberikan kesan mendalam di dalam jiwa dan sanubari murid barulah lahir insan syumul yang kaya dengan ilmu dan cakna dengan akal budi.
Amalan sivik juga harus dikuatkuasakan dalam kalangan masyarakat umum. Kebertanggungjawaban ini amatlah perlu kerana masyarakat umum juga mempunyai tanggungjawab terhadap kepentingan awam dan negara. Tanpa penegasan dan penguatkuasaan, individu lebih percaya bahawa mengamalkan nilai-nilai murni bukanlah suatu perkara yang wajib, sebaliknya sebagai imej peribadi sahaja. Apabila lunturnya perasaan bertanggungjawab, individu berasa bebas untuk melakukan apaapa sahaja termasuk menjejaskan kepentingan awam. Oleh hal yang demikian, beberapa aspek dalam amalan sivik seperti bertanggunjawab, ketelusan dan menghormati hak asasi harus dijadikan terma dalam undang-undang. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia digemblengkan komitmen mereka dalam memaksimumkan amalan sivik bak kata pepatah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Maruah sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan tingkah laku dan amalan budaya mereka. Orang lain dengan mudah melabelkan diri kita dengan pelbagai andaian apabila melihat cara kita bertindak. Oleh itu, jagalah maruah dan budi pekerti agar kita diiktiraf sebagai bangsa yang bertamadun. Oleh sebab itu segala-gala yang terpancar daripada tingkah laku mahupun tutur kata merupakan imej keperibadian yang terbina daripada pasak kekuatan sivik.