Dewasa
ini gejala salah laku di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi. Ini
terbukti apabila banyak kes dipaparkan kepada umum melalui media cetak dan
media elektronik. Pelbagai cara dan langkah telah diambil bagi membendung
gejala ini, tetapi hasilnya tetap sama. Sesetengah pihak berpendapat amalan
merotan merupakan tindakan yang berkesan ke arah membendung gejala salah laku
di kalangan pelajar sekolah. Namun, keberkesanannya masih belum terbukti.
Terdapat juga pandangan yang mendakwa bahawa amalan merotan meningkatkan lagi
gejala salah laku di sekolah. Ini kerana pelajar yang dirotan akan berdendam
serta berasa benci dan marah kepada orang yang merotannya. Sehubungan dengan
itu, tindakan lain harus difikirkan dan dilaksanakan bagi membendung gejala
salah laku di kalangan pelajar sekolah.
Salah
satu tindakan yang dianggap berkesan dalam membendung gejala salah laku di
sekolah adalah dengan memberi kaunseling kepada pelajar tersebut. Pendekatan
kaunseling yang sesuai digunakan adalah dengan nasihat tentang baik dan
buruknya melakukan salah laku sama ada kepada diri sendiri, sekolah atau
masyarakat. Biasanya, apabila dinasihati secara lembut pelajar akan mengikut
nasihat tersebut. Sebaliknya, jika pelajar itu dikenakan hukuman rotan, nescaya
ia akan merosakkan pelajar itu sendiri. Sesetengah pelajar sudah lali dengan
rotan menganggap merotan sebagai satu hukuman yang ringan. Oleh itu, mereka
akan terus melakukan kesalahan atau melanggar peraturan sekolah.
Selain
itu, pihak sekolah juga boleh memanggil ibu bapa pelajar terbabit datang ke
sekolah untuk berbincang tentang kelakuan dan disiplin anak-anak mereka. Dengan
cara ini, pelajar itu akan cepat sedar dan insaf kerana mereka mungkin akan
berasa malu dan takut kepada ibu bapa. Ibu bapa dan guru juga harus mencari
jalan penyelesaian terbaik bagi anak-anak mereka supaya kesalahan itu tidak
berulang lagi. Nasihat, dorongan dan perhatian daripada ibu bapa amat penting
untuk membentuk perilaku pelajar yang baik.
Hukuman
mendenda pelajar dengan tindakan yang berunsur positif juga boleh dilaksanakan
untuk mengelakkan pelajar melakukan kesalahan yang berterusan. Contohnya,
pelajar yang suka mengotorkan halaman sekolah boleh dijatuhi hukuman
membersihkan sekolah untuk menginsafkan pelajar tentang peri pentingnya menjaga
kebersihan.
Di
samping itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan
dan kelab di sekolah boleh menghindarkan pelajar daripada melakukan salah laku.
Ini kerana apabila masa luang pelajar dipenuhi dengan kegiatan yang berfaedah,
pelajar tidak akan berasa bosan untuk ke sekolah. Aktiviti ini juga bukan
sahaja memberi manfaat kepada pelajar, bahkan dapat mengeratkan lagi hubungan
antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan guru dengan masyarakat. Hubungan
yang sedemikian akan menimbulkan suasana aman dan bahagia di sekolah. Tambahan
pula, pelajar akan merasakan diri mereka diperlukan dan dihargai.
Tindakan
menggantung sesi persekolahan pelajar yang melakukan kesalahan juga wajar
dilakukan. Ini kerana apabila seseorang pelajar itu digantung persekolahannya,
dia akan ketinggalan dalam pelajarannya. Kesannya, pelajar terbabit akan cuba
menjadi pelajar yang berdisiplin dan mematuhi segala peraturan sekolah.
Tindakan ini juja akan menyebabkan pelajar berasa malu dan sedar atas kesalahan
yang telah dilakukannya.
Kesimpulannya,
amalan merotan bukanlah satu tindakan yang berkesan untuk membendung
salah laku di kalangan pelajar sekolah. Ini kerana terdapat banyak lagi langkah
atau tindakan yang wajar dilaksanakan bagi membendung gejala ini. Oleh
itu, pihak pentadbiran sekolah harus memikirkan semula sama ada sesuai atau
tidak melaksanakan hukuman merotan di kalangan pelajar yang melakukan salah
laku itu.