Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan
berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah
jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi.
Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca
negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran
hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di
Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu,
Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap
darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah
jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh
beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan
pokok bergoyang ”.
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu
ialahpembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di
kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan
tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini
berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka
bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku
kerana pihak Indonesia ingin membina infrastrukturyang baharu seperti bangunan,
sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan
secaraberleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin
tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara
kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita
melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan
debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu
berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara
terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran
terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah
sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang
kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap
mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi,
mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa
kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit
membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami
padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula.
Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu
tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas.
Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan
jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan
cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di
Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya.
Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan
karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan
lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap
pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara.
Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya
terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai
selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan
menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat
dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak
dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah
jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan
industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara
banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang
lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang
yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak
sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap
untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang
dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yangboleh
mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada
pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga
menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal
dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara
kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang
memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh
proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding
dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya
akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu
diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang
tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat
perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan
alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk
menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya
masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi
kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahantidak dimulakan
dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.