Hujan Asid
Air hujan secara semulajadi adalah berasid. Ini disebabkan oleh air
hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang
terdapat di atmosfera. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh permintaan dalam
bidang industri maka penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan
bahan api fosil dibakar secara berleluasa. Pembakaran bahan api fosil ini akan
menghasilkan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara.
Gas-gas ini apabila bergabung dengan air hujan akan menghasilkan hujan asid.
Punca-punca Hujan Asid
Kejadian hujan asid boleh berpunca daripada aktiviti manusia atau pun
berlaku secara semula jadi.
Punca daripada kegiatan manusia
- Kegiatan industri : menghasilkan sulfur
dioksida dan nitrogen melalui pembakaran bahan api fosil di kilang-kilang
dan pembakaran arang batu bermutu rendah menyebabkan pembebasan gas sulfur
dioksida yang banyak ke atmosfera.
- Proses peleburan bijih timah : peleburan yang
banyak akan membebaskan gas sulfur dioksida terutamanya peleburan timah
kuprum.
- Aktiviti sistem pengangkutan : asap ekzos
membebaskan gas nitrogen dioksida dan nitrik oksida semasa pembakaran pada
suhu tinggi di silinder kereta.
- Kegiatan pertanian : penggunaan baja nitrogen
akan menghasilkan gas nitrogen, pembakaran terbuka bungkusan plastik baja
dan sisa kayu membebaskan sulfur dioksida dan pereputan najis lembu akan
membebaskan gas metana dan oksida nitrus menyebabkan hujan asid nitrik.
Punca semulajadi
- Letupan gunung berapi membebaskan gas sulfur
dioksida, nitrogen dioksida, karbon dioksida dan karbon monoksida.
- Penguraian bahan organik: aktiviti bakteria
dalam tanah menukarkan nitrat kepada nitrit dan menghasilkan gas nitrogen
semasa hujan kilat. Selain itu, penguraian bahan organik dan najis haiwan
oleh bakteria anaerobik mengakibatkan penurunan sulfur seperti desulfovibrio
di mana ianya menukarkan sulfat kepada hidrogen sulfida. Anaerobik beerti
dalam keadaan tidak beroksigen biasanya di kawasan air bertakung seperti
di kawasan tanah lembap. Dalam proses penurunan sulfat ini, bakteria
mendapatkan tenaga untuk hidup. Hidrogen sulfida bergabung dengan oksigen
(udara) untuk membentuk sulfur dioksida. Sulfur dioksida ini bertindak
balas dengan air hujan dan menghasilkan hujan asid.
- Semburan Lautan: Lautan memang kaya dengan
kandungan klorida dan sulfat yang terdapat di atas permukaan atau di bawah
lautan. Fitoplankton marin adalah merupakan sumber penting dalam edaran
sulfur di lautan di mana ianya akan membebaskan bahan sulfur yang mudah
meruap seperti dimethylsulfida (DMS). Kandungan DMS di udara akan
dioksidakan kepada sulfat dan menghasilkan hujan asid. Fitoplankton
membebaskan DMS untuk melindungi diri daripada kesan negatif kemasinan
tinggi lautan dan kesan pembekuan.
- Kebakaran hutan membebaskan gas-gas pencemar
seperti gas nitrogen dioksida
Kesan Hujan Asid
Hujan asid mendatangkan pelbagai kemudaratan terhadap beberapa aspek
tertentu iaitu dari aspek kesihatan, kesuburan tanah dan tumbuhan, ekosistem
akuatik dan bangunan serta peralatan bangunan.
Kesihatan
- Memudaratkan golongan tidak kira tua mahu pun
muda terhadap penyakit athsma, bagi kanak-kanak pula fenomena ini boleh
menyebabkan sakit batuk, alergi dan selesema.
- Gas sulfur dioksida adalah merupakan agen
kepada beberapa penyakit kepada manusia seperti sakit dada, tulang, batuk,
sakit kerongkong, barah kolon dan barah payu dara.
- Air dan hujan asid yang bercampur dengan
plumbum, kadmium dan aluminium berbahaya kepada manusia apabila diminum di
mana boleh menyebabkan cirit birit di kalangan kanak-kanak, gangguan saraf
dan membahayakan otak.
- Aluminium pula boleh menyebabkan penyakit
alzheimer (berkait dengan hilang ingatan)
Terhadap tanah dan tumbuhan
- Menyebabkan kemusnahan hutan kerana terkena
hujan asid; eg. 70% hutan di Czechslovakia musnah akibat hujan asid ini.
- Kandungan alkali dan asid dalam tanah menjadi
tidak seimbang dan mempengaruhi keseimbangan dan kestabilan tanah.
- Nilai pH kurang daripada 6 akan menyebabkan
bahan-bahan organik tanah mati, maka tanah ini menjadi tidak subur dengan
ketiadaan nutrien di dalamnya.
- Memusnahkan fungsi daun.
- Pokok mati kerana asid bertindak balas dengan
nutrien dalam tanah dan mengurangkan kesuburan tanah.
Ekosistem akuatik
- Tumbuhan dalam tasik dan hidupan plankton
termusnah akibat penurunan nilai pH air tasik (kurang daripada 5), ini
akan mengganggu kelancaran pembiakan ikan dan amfibia.
- Ikan dan udang secara tidak langsung merupakan
ancaman kepada manusia di mana kandungan raksa dan asid sulfurik yang
tinggi meresap masuk ke dalam kulit haiwan ini.
- Air sungai dan laut menjadi berasid pada pH 5
membunuh hidupan akuatik seperti ikan (atau mana-mana binatang yang
bergantung kepada ikan akan mati juga eg. burung laut); berlaku di Tasik
Minnesota di mana hujan asid ini telah memusnahkan 140 buah tasik di situ.
Bangunan dan peralatan bangunan
- Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul
menjadi pemndapan berasid, ini akan mempercepatkan kadar hakisan dan
pengaratan barangan besi.
- Meluntur dan merosakkan cat kereta.
- Binaan bangunan menjadi lemah dan rapuh serta
mempercepatkan hakisan
bangunan.
Langkah-langkah Mengatasi Hujan Asid
Bagi menangani masalah hujan asid yang kian hangan melanda dunia,
sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi, beberapa langkah selamat boleh
dijalankan.
- Tasik yang tercemar boleh dipulih melalui
proses liming di mana batu kapur merupakan bahan utama dan diletakkan ke
dalam air tasik yang berasid untuk dineutralkan; eg. tasik-tasik di West
Wales, Canada telah menjalankan proses membaik pulih tasik-tasik yang
telah tercemar, pH tasik ini 5.5 - 7.0.
- Menghadkan pelepasan gas pencemar udara ke
atmosfera dengan menggunakan bahan api yang rendah kandungan sulfur dan
secara tidak langsung boleh mengurangkan gas sulfur dioksida.
- Memperkenalkan pemasangan 'scrubbers' di
cerobong asap di kilang-kilang untuk menapis gas sulfur dioksida.
- Penggunaan sistem denitrifikasi dan
dinyahsulfur, contohnya arang batu direnyukkan dan dicampurkan dengan batu
kapur, dengan ini, kandungan sulfur dalam arang batu akan bertingdak balas
dengan kalsium karbonat dan menghasilkan kalsium sulfat dan gypsum sebagai
hasil sampingan.
- Mempertingkatkan lagi teknologi 'flash
smelting' yang sering digunakan oleh pelebur kuprum, pembebasan sulfur dioksida
global dapat dikurangkan 5-10 ton setahun.
- Menggalakkan pemasangan pengubah bermangkin
(catalytic converter) pada enjin kenderaan, ini dapat mengurangkan gas
NOxsebanyak 90% di mana gas pencemar dapat diubah sebelum dilepaskan ke
atmosfera. Ini bertujuan untuk mengurangkan gas karbon monoksida dan
nitrogen oksida asap ekzos.
- Dari segi perundangan, boleh ditingkatkan lagi
mengenai pengawalan pencemaran alam sekitar.
- Sebagai individu, kita perlu sentiasa
memastikan kenderaan kita dalam keadaan yang baik memandangkan bilangan
kenderaan berdaftar di Malaysia adalah semakin meningkat.
- Bagi meningkatkan kesedaran dalam masyarakat,
perlu adakan kempen, ceramah atau pun aktiviti kemasyarakatan bagi
memastikan setiap individu dalam sesuatu masyarakat memainkan peranan
untuk memelihara alam sekitar.