Dunia kini sedang mengalami krisis kenaikan minyak yang begitu kronik. Kenaikan ini telah menyebabkan banyak negara mengalami masalah hutang yang begitu teruk sehingga mampu memusnahkan ekonomi yang sudah dipupuk sekian lama itu. Rakyat juga mula menerima tempias krisis ini yang menyaksikan banyak syarikat mula membuang pekerja mereka kerana ekonomi dunia mengalami kegawatan yang ketara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya krisis kenaikan harga minyak ini?
Kemelut harga minyak ini banyak dipengaruhi oleh permintaan minyak yang begitu tinggi dari negara China dan India. Kedua-dua negara ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak lalu memerlukan jumlah minyak yang banyak untuk memenuhi keperluan industri mereka yang sedang berkembang pesat itu. Permintaan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan harga minyak melambung kerana situasi ini mewujudkan tekanan terhadap keperluan minyak begitu jelas. Pada masa yang sama, keperluan permintaan minyak dunia begitu tinggi berbanding dengan tahap pengeluaran minyak yang sedia ada lalu menyebabkan harga melambung tinggi. Ringkasnya, harga minyak meningkat kerana China dan India telah mewujudkan satu pasaran baru buat pengusaha minyak dunia.
Selain itu, keadaan politik yang tidak stabil di rantau Asia Barat telah menjadikan harga minyak melambung tinggi. Peperangan bersama-sama tunjuk perasaan, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik di Iraq, Iran, Syria, Kuwait dan sebagainya menyebabkan banyak negara pembeli minyak berasa risau lalu membuat pembelian awal yang lebih banyak daripada pembelian biasa. Keadaan yang tidak stabil ini menyebabkan negara-negara pengeluar minyak yang lain mengambil kesempatan untuk meninggikan harga minyak untuk mengaut keuntungan segera daripada ketidakstabilan politik yang melanda rantau itu. Maka, keadaan politik yang tidak stabil di Asia Barat telah menyebabkan harga minyak melambung tinggi dengan begitu mudah.
Penurunan kadar nilai mata wang Amerika Syarikat juga dikaitkan dengan peningkatan harga minyak ini. Sudah menjadi kebiasaan pembelian minyak dikaitkan dengan penggunaan mata wang Amerika Syarikat lalu sebarang penurunan mata wang negara ini pasti akan menjejaskan nisbah keuntungan yang bakal diterima oleh negara pengeluar minyak itu. Situasi ini membawa kepada negara pengeluar minyak tidak berminat untuk mengeluarkan minyak lebih banyak kerana pembelian minyak menggunakan mata wang Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa kadar keuntungan yang banyak kepada mereka.
Tambahan pula, keperluan minyak negara-negara yang mengeluarkan minyak itu sendiri begitu tinggi. Situasi ini menyebabkan jumlah minyak yang dikeluarkan oleh mereka itu tidak banyak yang boleh dieksport untuk keperluan negara lain kerana sudah pasti mereka akan cuba memenuhi keperluan minyak negara mereka terlebih dahulu. Kekurangan jumlah penawaran minyak di pasaran antarabangsa menyebabkan harga minyak melambung kerana negara-negara lain turut memerlukan minyak dalam kuantiti yang banyak.
Konklusinya, harga minyak melambung disebabkaan oleh semua faktor yang dinyatakan tadi. Kerjasama yang lebih erat antara negara pengeluar dengan negara yang memerlukannya perlu dicapai kerana kegagalan membuat persetujuan bersama bakal menyaksikan harga bahan mentah utama dunia ini akan terus meningkat ke tahap yang begitu tinggi. Semua pihak perlulah memahami impak yang dibawa oleh kenaikan harga minyak ini terhadap pembangunaan dunia secara keseluruhannya.