Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Kesan Pencemaran kepada Manusia dan Alam Sekitar

Kesan Terhadap Manusia

a) Kesihatan terjejas

Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia. Manusia akan menghidap pelbagai penyakit, khususnya respirasi akibat menghidu udara yang tercemar. Manusia memerlukan udara bersih untuk hidup. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasannya akan menyerap pelbagai bahan pencemar ke dalam paru-paru. Ini akan mengakibatkan proses penukaran karbon dioksida kepada oksigen tidak dapat dilakukan dan darah akan mengalami kekurangan oksigen. Ini seterusnya menyebabkan fungsi paruparu terjejas dan sistem pengaliran darah mengalami masalah. Ini mengakibatkan pelbagai penyakit.



Kesan Terhadap Alam Sekitar

a) Hujan asid

Hujan asid secara semulajadi adalah berasid. Ini disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan bahan api fossil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fossil seperti minyak dan arang batu oleh logi tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik.

Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Ini berlaku apabila asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkantumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka yang berpenyakit seperti mengidap asma.

b) Jerebu

Jerebu adalah merupakan zarah-zarah kecil yang boleh wujud secara semulajadi ataupun wujud akibat daripada kegiatan seharian manusia. Asap kilang, asap kenderaan dan juga asap pembakaran adalah faktor penyumbang kewujudan jerebu. Apabila zarah-zarah kecil berkumpul dengan jumlah yang banyak, bertaburan dan terapung di udara maka ia akan menyerap dan menghalang cahaya matahari untuk sampai ke permukaan bumi. Keadaan ini kemudiannya akan menyekat pemandangan dan menurunkan kadar penglihatan.

Jerebu adalah satu fenomena yang begitu merunsingkan pada satu ketika dahulu. Ia bukan sahaja membawa kesan buruk kepada individu tetapi juga kepada negara. Jerebu selalunya berlaku di kawasan bandar.
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk,terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas, mata terasa pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit badan terasa gatal-gatal dan terasa sakit dada.

c) Suhu meningkat

Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida dan terkumpul di dalam udara.
 
Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesanya adalah permukaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.

d) Air tercemar

Hidupan air seperti ikan, siput, udang atau ketam akan mati dengan tumpahan minyak, pembuangan sampah dan sisa toksid yang dicemarkan. Selain dari itu pencemaran toksid yang masuk ke dalam air akan menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan petuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.

Pencemaran air yang berlaku memberi kesan bukan sahaja akan dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain. Kesan kepada manusia adalah terhadap kesihatan mereka sendiri. Dimana antara kesan yang dianggap kronik akaibat pencemaran air yang berlaku adalah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkahlaku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan akibat penggunaan sumber air tersebut

e) Bau busuk

Bau buruk akan terhasil apabila sampah sarap yang tidak diselenggarakan dengan baik dibiarkan sahaja. Kehadiran lalat, ulat dan bahan – bahan lain menyebabkan sampah ini akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Bau yang kurang menyenangkan penduduk setempat juga berlaku apabila petempatan mereka berdekatan dengan tempat pelupusan sampah, penternakan haiwan, kilang kelapa sawit dan kilang getah.