Para
ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup
ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa
kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’
itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi
caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu
membaca. Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah
dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh
kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga
semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar
membaca.
Minat
membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak
seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai
kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah
dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca ,
bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang
perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang
cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain
itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam
mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian
Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Kempen Nilam di setiap
sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan
mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi
ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan
sesi pembacaan iaitu akitiviti nilam di sekolah dan menjadikan pusat sumber
sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas
untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu
ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan
tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka
menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Tidak
lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka
dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan
elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah
dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan
televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman
teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik
sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada
berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa
terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik
perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali
kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah
masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh
media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.
Dalam
kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik.
Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali
dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang
pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih
tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila
memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan
utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat,
pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan
bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom
ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak
bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar
membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang
mementingkan pemerolehan maklumat terkini. Oleh yang demikian, langkah yang
proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan
secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan
dan faedah membaca.
Intihanya,
semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama
sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap
insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan
maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga
perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan
dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang
berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam
dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib,
berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan
bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika
diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan
membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang
manis.