Bahaya
dan keburukan merokok kerap diperkatakan,tetapi tabiat merokok ternyata semakin
meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.Dahulu hanya kaum lelaki
sahaja yang mengamalkan tabiat merokok, tetapi tabiat ini sudah menular dalam
kalangan wanita dan remaja wanita. Malah,yang membimbangkan ialah peningkatan
perokok dari semasa ke semasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.. Peningkatan
ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan lelaki, malah berlaku dalam kalangan
kaum wanita semenjak kebelakangan ini. Statistik tidak rasmi Kementerian
Kesihatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa peratus remaja wanita merokok
ialah lapan peratus berbanding pada tahun-tahun sebelumnya yang hanya
mencatatkan tiga peratus sahaja.Jumlah perokok wanita dan remaja wanita tidak
mustahil akan meningkat pada tahun yang akan datang jika tidak ada usaha untuk
menangani masalah ini Apakah alasan dan sebabnya semakin ramai wanita di negara
ini merokok? Inilah persoalan yang perlu kita bincangkan sekarang.
Apabila
tinjauan secara rambang dibuat dalam kalangan perokok wanita, kebanyakan mereka
mengatakan bahawa merokok menjadi salah satu cara mengatasi tekanan dan
ketegangan yang dihadapi oleh mereka. Tabiat merokok dianggap oleh mereka
sebagai cara yang paling mudah dan berkesan untuk menyelesaikan masalah itu.
Bagi mereka, setiap hembusan asap rokok seolah-olah satu masalah yang membebani
mereka menghilang. Hal ini demikian kerana nikotina yang terkandung di dalam
rokok itu mematikan akal mereka, tetapi perkara ini hanya sementara
semata-mata. Oleh sebab itu, mereka menghisap rokok ini dengan kerap dan
kuantiti yang banyak. Seterusnya, hidup mereka akan terus dibelenggu oleh
rokok. Dengan ini, jelaslah bahawa alasan wanita merokok adalah untuk
menghilangkan tekanan yang dihadapi.
Di
samping itu, ada juga mereka yang berpendapat bahawa tabiat merokok tidak lebih
sebagai satu keperluan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran
tempat dan rakan-rakan yang didampingi oleh mereka. Bagi mereka, mereka merokok
hanya untuk suka-suka supaya diri mereka diterima oleh kelompok tertentu dan
tidak terasa dirinya disisih disebabkan mereka tidak merokok. Pada hakikatnya,
mereka lupa bahawa merokok ini menyebabkan mereka akan ketagih. Sebagai contoh,
setiap kali mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka, mereka akan merokok.
Semakin kerap mereka berjumpa, semakin banyaklah rokok yang akan disedut. Jadi,
tidak hairanlah sekiranya peratusan perokok wanita semakin meningkat saban
hari.
Sementara
itu, kebanyakan perokok remaja yang masih berusia belasan dan awal dua puluhan
tahun pula memberitahu bahawa tabiat merokok mampu membantu mereka untuk
menjaga dan mengawal berat badan. Pengaruh rakan-rakan yang mengatakan bahawa
berat badan dapat dikawal menerusi tabiat merokok menyebabkan semakin ramai
remaja wanita yang berani untuk cuba menghisap rokok. Kesan sampingan tidak
difikirkan oleh mereka, tetapi yang lebih penting bagi mereka adalah untuk
memiliki bentuk badan yang ramping dan cantik. Apatah lagi pada peringkat usia
ini, masing-masing gemar bersaing dan cuba menarik perhatian orang lain. Hal
ini menunjukkan kita bahawa mereka gemar membuat sesuatu perkara tanpa
memikirkan baik dan buruknya benda tesebut.
Hasil
kajian sains juga mendapati bahawa wanita lebih mudah ketagih berbanding dengan
lelaki dan lebih sukar untuk berhenti apabila ketagih. Hal ini menjadi lebih
sukar lagi sekiranya wanita itu mula menghisap rokok pada usia muda.Kebanyakan
perokok yang menghisap rokok jenis kadar nikotin rendah biasanya mengatakan
bahawa mereka senang untuk berhenti merokok. Sebaliknya, jika kita berfikir
dari segi logik, orang yang merokok sama ada yang mempunyai sedikit nikotin
atau banyak nikotin boleh memberikan kesan buruk. Dalam konsep kesihatan, tidak
ada rokok yang selamat seperti pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia di setiap
kotak rokok Merokok Membahayakan Kesihatan. Tidak mustahil individu yang
menghisap rokok dengan kadar nikotin rendah akan mengambil lebih banyak rokok
pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh setiap
individu supaya tidak terjebak dengan tabiat merokok ini
Terdapat
juga perokok yang memberikan alasan kononnya merokok boleh memberikan sumber
ilham dan menghilangkan ketegangan. Hal ini tidak benar kerana perokok
berkenaan menanam dalam fikiran mereka sendiri bahawa perkara itu boleh
berlaku. Pada peringkat awal, jika seseorang yang tidak pernah merokok, apabila
merokok, maka nikotin dalam rokok berkenaan akan merangsang fikirannya, tetapi
lama-kelamaan, nikotin tadi sama juga seperti dadah yang lain akan menjadi
immun kepada perokok berkenaan. Contohnya, kalau hari ini mereka mengambil
sebatang rokok dan terasa nikmatnya, maka lama-kelamaan keperluan itu meningkat
menjadi dua batang, sebatang rokok sudah tidak terasa apa-apa lagi. Hal ini
berlaku kerana apabila nikotin dihisap semakin banyak, maka rangsangan akan
berubah menghambat dan menghalang serta menjadikan perokok berkenaan mula
ketagih pada peringkat ini.
Kesimpulannya,
bagaimanakah caranya untuk berhenti daripada merokok? Individu yang sudah
berhenti merokok selama sekurang-kurangnya setahun boleh menghentikan terus
tabiat itu. Walau bagaimanapun,hal ini bergantung pada persekitaran, hubungan dengan
rakan-rakan dan kebosanan yang dirasakannya. Jika perokok hendak berhenti
merokok,maka mereka hendaklah mengawasi alam persekitaran seperti
rakan-rakannya,persekitaran tempat kerja dan lain-lain yang boleh menjebaknya
untuk meneruskan tabiat itu. Oleh sebab itu, sebelum sampai peringkat ketagih
maka lebih elok berhenti merokok bagi memudahkannya membuang terus tabiat itu.
Dengan menghentikan tabiat merokok, perokok bukan sahaja dapat menjimatkan wang
mereka,tetapi mereka juga boleh menghindari diri mereka daripada dihinggapi
pelbagai penyakit. Oleh itu, tabiat merokok perlu dihentikan dan saya bergarap
individu yang belum merokok supaya tidak cuba untuk merokok kerana hal ini akan
membawa kepada ketagihan. Oleh sebab itu, kita perlu pegang peribahasa “beringat-ingat
sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis.''