Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Cara Mengisi Masa lapang

Karangan UPSR- Contoh Karangan Cara Mengisi Masa lapang 

 

Apakah yang dimaksudkan dengan frasa "Masa itu Emas"? Ternyata, masa amat penting kepada kehidupan seharian. Masa yang berlalu tidak dapat diganti. "Masa ialah Kehidupan" yang tidak dapat kita undurkan. "Masa ialah Kehidupan" yang tidak dapat kita undurkan. Oleh sebab itu, kita harus bijak mengemudikan masa supaya masa yang ada tidak terbuang begitu sahaja. Jadi, manfaatkanlah masa dengan amalan atau aktiviti yang berfaedah dan jangan sekali-kali membudayakan “ikan di hulu, tuba di hilir”.

 

Amalan membaca merupakan aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang. Bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar, novel, buletin atau jurnal berlambak di pasaran. Sekiranya kita menggunakan masa terluang dengan aktiviti membaca, pelbagai disilpin ilmu dan beraneka sumber maklumat dapat kita ketahui kerana “Buku Jendela Dunia”. Selain melatih otak untuk lebih fokus terhadap sesuatu perkara, aktiviti membaca ini juga mampu memberikan hiburan dan merehatkan minda seseorang.

 

Masa senggang juga dapat digunakan dengan sebaik-baiknya jika kita mengamalkan hobi yang berfaedah seperti bersukan, melancong, berekreasi, menonton filem, menonton televisyen, mendengar radio, menghayati muzik, memasak dan sebagainya. Penggunaan masa terluang dengan hobi yang bermanfaat ini juga akan memberikan kepuasan kepada kita.

 

Budaya menziarahi teman-teman, jiran, dan kerabat juga boleh kita lakukan untuk mengisi masa lapang. Selain dapat bersiar-siar dan menikmati juadah yang dihidangkan, pertemuan tersebut juga membolehkan kita untuk lebih mengenali mereka, kerana “tak kenal maka tak cinta”. Perjumpaan ini pastinya akan dapat memeterai persahabatan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan mereka.

 

Masa yang terluang juga boleh kita isi dengan membantu urusan seharian orang tua di rumah. Kepenatan mereka menguruskan keluarga pada saban hari tidak dapat kita nafikan. Jadi apalah salahnya kita bersikap “ringan tulang” untuk meringankan kerja-kerja mereka. Kata pepatah, “yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul”. Antara rutin pekerjaan ini termasuklah kerja-kerja mengemas rumah, memasak, membasuh dan menyidai pakaian, membersihkan halaman persekitaran, menyiram pokok bunga dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Pada masa yang sama, interaksi social ini akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

 

Sebagai kesimpulannya, belajarlah mendisiplinkan diri untuk menggunakan masa lapang dengan penuh istiqamah supaya masa yang ada tidak terbazir begitu sahaja.

 

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA

Munsyi Dewan DBP