Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Sumbangan Ibn Majid Dalam Bidang Pelayaran

Contoh Karangan Sumbangan Ibn Majid Dalam Bidang Pelayaran 


Pendahuluan

Ibn Majid atau nama sebenarnya Shihab al-Din bin Majid al-Najdi. Dilahirkan di Julphar (Oman). Beliau merupakan seorang ahli pelayaran Arab yang terkemuka pada abad ke-9 H/15 M. Beliau adalah daripada keturunan ahli pelayaran dan digelar “Singa Laut” kerana kemahirannya belayar di Lautan Hindi. Beliau telah menghasilkan 25 buah kitab sama ada berbentuk prosa atau pun puisi yang merangkumi bidang pelayaran, perjalanan bintang, angin, ombak dan lain-lain yang menggambarkan penguasaannya dalam bidang pelayaran dan geografi.

Sumbangan Ibn Majid

1.      Menghasilkan penulisan kitab-kitab pengembaraan yang memberi sumbangan dalam bidang pelayaran.
Kitab al-Fawaid fi Usul ‘Ilm al-Bahar wa al-Qawaid (mengenai kaedah-kaedah dan faedah-faedah ilmu laut). Hasil karya dalam bentuk prosa yang dibahagikan kepada 12 buah bab. Kandungan kitab ini mengenai permulaan pelayaran, jarum magnet, bulan, bintang, kompas, laluan Lautan Hindi, 10 buah pulau yang paling terkenal termasuklah Pulau Jawa, Sumatera dan Ceylon, monsun yang sesuai bagi 8 pelayaran dengan tarikh mengikut perkiraan bangsa Parsi dan tentang Lautan Merah. Tujuan beliau menghasilkan karya yang pertama ini disebabkan hasratnya ingin memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan catatan-catatan yang telah dilakukan oleh pelayar-pelayar sebelumya.

Menghasilkan kitab Hawiyat al Ikhtisar fi Usul ‘Ilm al-Bihar. Kita ini dihasilkan pada tahun 866 H. Kandungan buku ini mengenai ilmu tarikh (falak), ilmu bahasa dan ilmu bintang. Juga berkaitan dengan laut di pantai Laut Arab, Hijaz, Syam dan Afrika. Beliau juga menjelaskan laluan di Teluk Parsi, Lautan Hindi, Laut China, pantai, pelabuhan, garis lintang dan ilmu astronomi (falak).

Menghasilkan kitab al-Urjuzah al-Mu’arrabah pada tahun 890 H membicarakan pelayaran di Teluk Aden secara terperinci. Karya ini telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja khalayak pembaca malahan juga dapat memberikan tarikan yang tersendiri kepada penjelajah-penjelajah lain. Menghasilkan karya Qadimah Makkiyah yang merupakan sebuah karya yang memberi huraian lengkap tentang laluan di Laut Merah dari Jeddah ke Tanjung Fartak (Selatan Semenanjung Tanah Arab), Calicut, Daibul, Kokan, Gujerat dan Hormuz.

Karya Aribah al-Dara’ib dan Urjuzah al-Maimiyah pula pula merupakan huraian yang lengkap mengenai penggunaan bintang sebagai panduan dalam pelayaran. Beliau juga telah menghasilkan karya mengenai bintang-bintang di kutub utara berjudul Urjuzah al-Maimiyah.

2.      Jurupandu
Beliau telah memandu Vasco da Gama yang belayar dari Malindi iaitu pantai timur Afrika hingga ke Calicut (Kerala). Sumbangan Ibn Majid ini diikhtiraf oleh Portugis sehingga beliau digelar Malemo Canaqua.

3.      Mengatasi masalah pelayaran
Beliau menyelesaikan kekeliruan yang dialami oleh pelawat tentang nama-nama laut. Beliau memberi gambaran yang jelas tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China Selatan dan laluan melalui Laut Hindi. Malahan beliau juga memberi panduan kepada pelayar untuk menggunakan peralatan pelayaran seperti kompas.

4.      Meninggalkan legasi dalam bidang pelayaran
Sumbangannya dalam bidang pelayaran telah dimanfaatkan oleh pelayar Eropah seperti Vasco Da Gama. Beliau juga telah menghasilkan lakaran peta laluan laut antara Eropah dengan India yang telah digunakan oleh pelayar Eropah. Sejarawan Eropah pula beranggapan bahawa Ibn Majid telah berjasa kepada dunia pelayaran Eropah. Buktinya, ada pandangan sejarawan yang mengatakan misi pelayaran Vasco Da Gama tidak menjadi realiti tanpa ilmu pelayaran yang dirintis oleh Ibn Majid.

5.      Menghasilkan Ensiklopedia Ilmu Pelayaran
Melalui ensiklopedia ini, Ibn Majid telah mengemukakan prinsip-prinsip asas pelayaran, rumah agam lunar, perbezaan pelayaran antara pantai dan laut lepas, lokasi bandar-bandar di Afrika Timur hingga Indonesia, kedudukan bintang, kisah mengenai monsun dan angin bermusim.

Kesimpulan
Sumbangan Ibn Majid dalam bidang pelayaran dan geografi telah merangsang pelayaran tokoh-tokoh Islam lain dan memberi maklumat serta gambaran kepada masyarakat sejagat. Jelas bahawa Ibn Majid merupakan tokoh pelayaran Islam yang berjaya mengembangkan atau merintis ilmu pelayaran moden dan ilmu pelayaran ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Barat untuk menjelajah dan neneroka dunia Timur.