Pusat Sumber Sekolah ialah tempat berlakunya segala kegiatan memperoleh sesuatu maklumat atau pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkat taraf profesionalisme keguruan. Sehubungan itu, ia merupakan suatu unit bersepadu yang bertugas untuk mengumpul, memilih, menyusun dan menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak dengan aktif dan bermakna bagi memenuhi kehendak kedua-dua pihak, iaitu guru dan murid.
Di pihak sekolah, pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkat taraf pengajaran dan pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik. Pusat Sumber Sekolah hendaklah berkhidmat sebagai tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan mengedarkan bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh guru dan murid-murid.
Selain itu, Pusat Sumber Sekolah berkhidmat sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan dapat pula digunakan secara individu atau berkumpulan. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari dan digunakan dengan mencukupi dan mudah. Para guru dan murid-murid boleh mendapatkan sumber-sumber yang dimiliki oleh sekolah dan yang ada kena-mengena dengan pelajaran. Bahan-bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, televisyen dan pelbagai bahan rekreasi sekolah seperti buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya ada di sini.
Pusat Sumber Sekolah dapat bertindak sebagai bank atau gedung ilmu penngetahuan, iaitu bahan pelajaran dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Selain itu, pusat sumber ini juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan masing-masing. Contohnya, seorang guru yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu kemahiran atau mata pelajaran tertentu akan mencari bahan-bahan atau alat-alat bantu mengajar yang tepat dan sesuai dengan mata pelajaran itu di sini.
Dengan adanya Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran akan. berjalan dengan lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat sumber dapat membantu seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru. Memandangkan murid-murid di negara ini tidak pernah melihat salji, sebuah filem yang menunjukkan tentang salji dan persekitarannya akan menambahkan pengalaman murid-murid tersebut. Hal ini menggambarkan murid-murid itu sendiri yang mengalami persekitaran itu setelah mendapat gambaran yang jelas, penerangan yang baik dan spontan yang dapat dilihat oleh murid-murid.
Dengan menggunakan sumber, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih dekat, lebih `detail dan spesialis’ (detail and specialise) serta menjjadi lebih menarik dan bermakna. Sesuatu perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan dengan menggunakan sumber yang ada. Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih hampir kepada murid-murid kerana perkara tersebut boleh dipindahkan ke dalam bentuk media dan dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin memberitahu tentang kenderaan kepada murid-murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut, terutamanya murid-murid di kawasan pedalaman, penggunaan sumber dapat membantu guru. Ini akan menggalakkan perubahan tingkah laku yang diingini. Pembelajaran yang berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh menyeronokkan murid-murid kerana persekitaran di dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di samping adanya pelbagai media perangsang.
Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa Pusat Sumber Sekolah, pengajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh