Guru ibarat dian yang membakar diri demi menerangi orang lain. Gurulah yang bertanggungjawab melahirkan tokoh-tokoh masyarakat di negara kita seperti Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Prof. Awang Had Salleh, Prof. Diraja Ungku Aziz dan ramai lagi. Begitulah besarnya jasa para guru. Namun, guru kian dilupakan pada masa sekarang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.
Salah satu sebab yang mewujudkan rasa kurang hormat masyarakat kepada guru ialah faktor peribadi guru itu sendiri. Sudah menjadi tanggapan umum bahawa guru boleh dijadikan model dalam kehidupan bermasyarakat. Namun, pandangan dan tanggapan positif masyarakat kian menipis apabila ada sesetengah guru yang melanggar etika keguruan. Ini termasuklah guru yang selalu ponteng kelas dan keluar dari kawasan sekolah atas urusan peribadi. Malah ada guru yang sanggup menghisap rokok dan bersembang dengan guru yang lain sambil diikuti ketawa hilai. Lebih malang lagi apabila ada guru yang telah memperdaya dan melakukan hubungan seks dengan pelajarnya. Segala perbuatan negatif ini tentunya boleh mengikis kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap guru.
Faktor guru yang bekerja sambilan selepas waktu sekolah juga menjadi punca mereka kurang dihormati. Misalnya, ada guru yang mengajar di kelas-kelas malam atau tuisyen, menjual di pasar-pasar malam, menjadi pengawal keselamatan, menjadi ejen syarikatsyarikat insurans dan lain-lain lagi. Oleh itu, ada kalangan masyarakat yang menganggap guru ini tamakkan duit dan mengabaikan tugas utamanya, iaitu mengajar dan mendidik. Bagi mereka, guru yang bekerja ini dianggap daif dan naif. Guru-guru ini dianggap setaraf, bahkan hidup susah seperti mereka juga. Oleh itu, guru bukanlah golongan yang perlu dihormati seperti dulu.
Di samping itu, guru juga kurang dihormati kerana dianggap gagal mendisiplinkan para pelajar di sekolah. Karenah pelajar yang tidak senonoh dan nakal, terutamanya di luar kawasan sekolah telah menimbulkan rasa kesal masyarakat terhadap guru. Gelagat pelajar yang ponteng, merokok, bergaduh dan bercium di kawasan awam menyebabkan mereka menempelak guru. Guru dianggap tidak menjalankan tugas dan makan `gaji buta’ sahaja. Peruntukan cuti yang kononnya banyak makin menambahkan in hati masyarakat kepada kalangan guru. Akhirnya, guru terus dipandang rendah oleh masyarakat pada hari ini.
Selain itu, ramai pelajar di sekolah hari ini masih tidak boleh membaca dan Bering kali gagal dalam peperiksaan, manakala ibu bapa pula begitu menaruh harapan agar anak mereka berjaya. Lantaran itu, pelbagai buku kerja dan alatan belajar disediakan oleh ibu bapa. Mereka juga sanggup menghantar anak-anak ke pusat tuisyen atau ke program-program motivasi demi memantapkan kebolehan anak masing-masing. Namun, mereka amat kecewa dan marah apabila mendapati anak yang menjadi harapan itu gagal dalam peperiksaan. Fenomena-fenomena ini tentulah boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif orang ramai, sekali gus i’nembuktikan lunturnya rasa hormat mereka kepada guru.
Faktor terakhir yang menyebabkan perasaan hormat masyarakat terhadap guru kian hilang ialah profesion keguruan itu sendiri. Kerjaya guru cuma berkaitan dengan usahausaha mengajar dan mendidik manusia agar berjaya dalam hidup mereka. Dunia guru telah membataskan pergaulan dan interaksi mereka dengan rakan setugas dan para pelajar sahaja. Peluang mereka untuk bergaul dengan masyarakat luar begitu terhad. Segala keterhadan ini akan membataskan peluang orang ramai untuk mengenali dan memahami peranan guru. Lebih ketara lagi apabila guru-guru tidak mempunyai apa-apa kuasa atau pengaruh terhadap urusan hidup masyarakat moden seperti sekarang. Oleh itu, tiada sebab mengapa guru perlu dihormati apatah lagi disanjungi.
Kita harus akur bahawa kejayaan yang kita kecapi sekarang adalah dimulakan oleh guru. Oleh itu, sanjungilah guru. Jangan kerana gelagat nakal segelintir guru kita jadikan alasan untuk menghukum guru. Janganlah kerana ‘seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit’