Golongan wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk di negara ini. Sambutan Hari Wanita pada 25 Ogos setiap tahun menggambarkan peri pentingnya mereka kepada masyarakat dan negara. Namun, kaum wanita seharusnya sedar yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu mereka pada masa kini dan akan datang.
Antara cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita hari ini adalah dari segi kerjaya. Kalau dahulu peranan wanita dianggap sinonim dengan dapur dan anak, tetapi kini peranan mereka sudah banyak berubah. Pelbagai kerja dan profesion telah diceburi oleh wanita seperti peguam, doktor, jurutera, ahli korporat, pemimpin dan lain-lain lagi. Malah penglibatan wanita dalam pasaran kerjaya telah dianggap menutup peluang golongan lelaki. Wanita kerap dilihat sebagai golongan yang lemah, tidak mampu dan kurang yakin dalam membuat sesuatu keputusan penting. Lantaran itu, banyak peluang kenaikan pangkat dan insentif gagal diraih oleh golongan ini.
Cabaran kedua yang dihadapi oleh wanita sekarang ialah pertambahan bilangan ibu tunggal dalam masyarakat kita. Kini, dipercayai 3.4 juta orang wanita di negara kita berstatus ibu tunggal. Kebanyakan mereka ialah mangsa cerai, gantung tidak bertali atau suami yang menghilangkan diri kerana tidak bertanggungjawab. Dengan status ini, mereka menghadapi cabaran untuk membesarkan dan mendidik anak-anak. Selain itu, ada juga kalangan masyarakat yang mem.buat persepsi buruk terhadap ibu tunggal. Segala gerak-geri dan penampilan ibu tunggal dalam masyarakat menjadi bahan bualan. Sikap negatif masyarakat ini sesungguhnya mencabar kewibawaan mereka sebagai ibu tunggal.
Di samping itu, wanita hari ini juga menghadapi masalah penderaan oleh golongan lelaki. Sifat lemah lembut dan mengalah kepada lelaki telah menyebabkan mereka teraniaya. Kejadian rogol, bunuh, dera dan sebagainya merupakan contoh jelas yang menunjukkan wanita hari ini teraniaya. Lebih malang dan menyedihkan apabila keganasan ini turut melibatkan liwat dan bunuh. Kejadian ke atas seorang pekerja lulusan luar negara di Kiang baru-baru ini menunjukkan wanita sekarang terdedah kepada pemangsa yang ganas dan sadis. Peruntukan undang-undang yang ada seolah-olah tidak simpati kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan ini.
Seterusnya ramai wanita negara ini yang bergelar isteri dan ibu bekerja yang berfungsi sebagai ketua keluarga meskipun masih bersuami. Peranan yang pelbagai ini mencabar ketrampilan dan kesabaran kaum wanita. Dengan status yang dipegang menjadikan mereka menjadi begitu sibuk dan tertekan. Apatah lagi si ibu kerap menjadi sasaran apabila anakanak tidak terdidik dengan sempurna. Manakala si ayah yang sibuk di luar pula terlepas daripada bebanan dan tanggungjawab hidup berkeluarga. Fenomena-fenomena di atas begitu berat dan boleh mencabar kewibawaan wanita sebagai isteri, ibu dan pekerja.
Akhir sekali, penglibatan dalam aktiviti-aktiviti kurang sihat seperti pelacuran. penagihan dadah, pembuangan bayi, penderaan dan lain-lain lagi turut menjadi cabaran kepada golongan wanita. Wanita yang diwar-warkan sebagai lemah lembut, sopan dan berbudi akhirnya kecundang oleh sinaran neon kota kosmopolitan. Mereka akhirnya tewas sebagai pelacur atau perempuan simpanan. Atas desakan rakan atau teman lelaki pula mereka sanggup menagih dan terlibat dengan pembuangan bayi. Tidak kurang juga wanita yang mendera orang gaji atau anak sendiri akibat panas baran ataupun tekanan hidup. Semua gejala ini menggambarkan betapa getirnya cabaran yang terpaksa dihadapi oleh golongan wanita.
Kesimpulannya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak. Adunan kecekapan, kemahiran dan kekentalan semangat akan memastikan mereka berjaya mengatasi setiap dugaan. Tanpa sifat-sifat ini, kita tidak mungkin mengenali Dato’ Nicol Ann David, Dr. Mazlan Othman, Prof. Dato’ Dr. Nik Safiah Karim dan ramai lagi.