Kokurikulum merupakan elemen yang sama penting dengan kurikulum akademik dalam pendidikan negara kita selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berobjektif untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Salah sejenis kokurikulum yang mustahak ialah badan beruniform, seperti Kadet Polis, Kadet Bomba, Pengakap, Pandu Puteri Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya. Sesungguhnya, ibu bapa dan para pelajar perlu dicelikkan supaya menyedari kepentingan menyertai badan beruniform.
Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan badan beruniform sangat maslahat untuk memupuk semangat berdisiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini terjadi demikian kerana peserta unit beruniform perlu mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan. Sebagai contohnya, ketika dalam latihan berkawad, setiap anggota harus mematuhi arahan ketua pasukan masing-masing sehingga memiliki rentak yang sama semasa bergerak. Semangat berdisiplin ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sehingga tidak melanggar peraturan sekolah dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan sendiri. Nescaya remaja yang berdisiplin dapat dicanai sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang jenayah juvenil.
Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa badan beruniform merupakan medan yang paling sesuai untuk mencambahkan pemimpin yang berwibawa. Melalui kegiatan dalam pasukan beruniform, pelajar telah dilantik atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan, amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan pengalaman dalam pasukan beruniform dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin kelak. Sebagai fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa majoriti pemimpin negara kita pernah menjadi pemimpin dalam pasukan beruniform di sekolah.
Lebih-lebih lagi, anggota pasukan beruniform lebih berdikari berbanding dengan pelajar lain. Lazimnya, pasukan beruniform akan menganjurkan pelbagai kegiatan tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi. Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai contoh, mereka perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Nilai berani, gigih, inisiatif, proaktif dan tabah akan dipupuk dalam sanubari setiap peserta untuk menghadapi pelbagai cabaran atau pancaroba. Lantaran daripada itu, anggota pasukan beruniform tidak seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi kebebasan untuk hidup berdikari.
Sudah terang lagi bersuluh, badan beruniform juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan peserta. Selain ilmu akademik, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam kehidupan dan sosial. Dengan menyertai Persatuan St. John Ambulans, pelajar telah diberi pengetahuan tentang pertolongan kecemasan. Dalam kegiatan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri, pelajar turut belajar untuk masak-memasak . Pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat ditimba daripada buku teks. Sebagai insan yang sempurna pelajar tidak boleh bergantung pada pencapaian akademik sahaja. Pengalaman dan kemahiran ini dapat mematangkan fikiran pelajar itu.
Badan beruniform juga dapat mewujudkan kerjasama antara pelajar yang berlainan bangsa. Semasa menjalankan kegiatan, pelajar yang berlainan bangsa dapat bertoleransi, tolong-menolong dan bahu-membahu untuk menjayakan sesuatu program, bagai hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Ahli pasukan beruniform bukan sahaja menjalani aktiviti di dalam sekolah tetapi juga dalam gabungan beberapa buah sekolah di peringkat daerah, negeri, kebangsaan malah antarabangsa. Anggota badan beruniform berpeluang berinteraksi dengan anggota dari sekolah lain bahkan negeri lain sehingga terjalinlah hubungan mesra antara generasi muda yang berbezaan latar belakang. Kerjasama mereka akan mencambahkan benih perpaduan, integrasi nasional dan nasionalisme dalam sanubari generasi muda kita sehingga merealisasikan 1 Malaysia.
Bukan itu sahaja, pelajar dapat menentukan kerjaya masa depan mereka melalui kegiatan badan beruniform. Hal ini terjadi demikian kerana setelah menyertai kegiatan pasukan pakaian seragam, mereka dapat mencungkil bakat mereka dan minat mereka dalam bidang tertentu. Tamsilnya, anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan Persatuan St John Ambulans lazimnya berminat menjadi doktor, jururawat dan pegawai kesihatan apabila dewasa kelak. Anggota Kadet Polis berpeluang besar untuk diterima dalam pasukan Polis Diraja Malaysia kerana sejak di bangku sekolah mereka telah menjalani pelbagai latihan ala polis di sekolah. Ternyata, anggota badan beruniform dapat menentukan hala tuju kerjaya mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Secara tuntasnya, kegiatan badan beruniform berupaya melahirkan modal insan yang berkualiti, iaitu berdisiplin, beramanah, berketerampilan, bekerjasama, bertanggungjawab serta bersemangat kental dan waja diri . Untuk mencapai pembangunan fizikal dan mental negara, generasi yang berjati diri dan berwawasan merupakan elemen yang tidak ternilai seperti peribahasa “pemuda harapan bangsa, pemudi srikandi negara”.