Usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun?
Bacalah alasan pihak yang berpendapat tidak wajar umur bersara dinaikkan kepada 60 tahun.
Pada asalnya usia bersara wajib penjawat awam ialah 55 tahun. Kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun?
Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia mungkin masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki oleh negara-negara maju. Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi ‘pelupa’, ‘merasa diri telah amat tua’ dan ‘menjadi perlahan dalam serba-serbi’.
Ini belum diambil kira golongan yang telah dihinggapi penyakit ‘terkenal’ dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.
Ada pihak mengatakan langkah ini dapat melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam yang rata-rata banyak menanggung beban hutang. Misalnya hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak-anak, insurans kesihatan, kemalangan dan lain-lain. Namun begitu, dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka, mungkin sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan.
Bagaimana dengan generasi anak-anak muda yang baharu hendak mencari penghidupan? Perlukah mereka menunggu sehingga orang lama yang sudah lelah bersara terlebih dahulu baharu peluang kerja akan terbuka untuk mereka?
Isu pelarasan gaji kakitangan awam tanpa mengira gred lebih relevan membantu kakitangan awam mengatasi masalah kewangan mereka memandangkan kos sara hidup meningkat berkali-kali ganda hanya dalam tempoh setahun. Harga petrol dan diesel kerap kali naik. Apabila ini berlaku, harga barangan keperluan harian secara langsung akan ikut naik. Kakitangan awam gred bawahan terpaksa berdepan dengan keperitan hidup apabila kos barangan dan perkhidmatan melonjak naik bebarapa kali setahun, sedangkan anjakan gaji tahunan mereka tidak sampai RM50.