Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Punca Dan Kesan Penipisan Dan Kebocoran Lapisan Ozon

Punca Dan Kesan Penipisan Dan Kebocoran Lapisan Ozon

Pengenalan

Masalah alam sekitar tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat global pada hari ini. Hal ini kerana perkara ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu dan masalah ini telah menjadi semakin parah pada abad ke 21 kini, ini sekali gus mengugat keseimbangan ekosistem yang secara tidak langsung mengubah iklim dunia. Masalah alam sekitar seperti pencemaran air, pencemaran udara, pemanasan global, penipisan lapisan ozon dan sebagainya sememangnya mengundang pelbagai bencana alam yang  mampu meragut sehingga ratusan nyawa manusia apatah lagi haiwan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah kiranya para pemimpin kini sedang hebat membincangkan isu ini di meja mesyuarat peringkat antarabangsa. Malahan para saintis juga sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini. Tahukah anda bahawa  masalah penipisan lapisan ozon pernah menggemparkan seluruh dunia apabila saintis telah menemui lubang ozon pada tahun 1987 ? penemuan ini berlaku di kawasan Antartika. Holistiknya, lapisan ozon ini merupakan lapisan satrosfera yang bertindak sebagai pelindung daripada pancaran ultra ungu (UV) memasuki secara terus-menerus ke permukaan bumi.

Punca penipisan lapisan ozon

Sebenarnya, punca yang amat jelas berlakunya penipisan lapisan ozon ini adalah berikutan daripada penggunaan kloroflorokarbon (CFC). Lazimnya, penggunaan bahan ini dikaitkan dalam pembuatan penghawa dingin, aresol, peti sejuk, dan juga melalui pembuatan busa dan bahan pelarut terutamanya di kilang-kilang elektronik. Dalam hal ini, kloroflorokarbon yang digunakan telah meningkatkan kadar penyingkiran ozon yang secara tidak langsung menyebabkan kemerosoton secara beransur-ansur dalam paras ozon global. Penyingkiran ozon yang berlaku ini akan menghakis lapisan ozon sedikit demi sedikit sehinggalah ianya menjadi lubang, bak kata pepatah “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” akhirnya lapisan ozon ini akan mengalami kebocoran secara serius dan pada ketika itu, semua hidupan dalam permukaan bumi bagaikan “hidup segan, mati tak mahu”. 

Selain itu, kemajuan aeroangkasa yang menggunakan jet supersonik juga tidak terkecuali dalam menyumbang kepada penipisan lapisan ozon ini. Dalam hal ini, jet supersonik yang menembusi atmosfera bumi akan membebaskan gas-gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan sebagainya. Gas-gas ini akan kekal di atmosfera bumi dan menyebabkan molekul-molekul ozon akan bertindak-balas terhadap gas tersebut dan akhirnya penghakisan lapisan ozon akan berlaku.

Kesan penipisan lapisan ozon 

Penipisan lapisan ozon ini, nyata mengundang pelbagai risiko dan implikasi terhadap hidupan di muka bumi. Kesihatan manusia merupakan ancaman utama yang paling ketara. Dalam hal ini, pancaran ultra ungu yang mempunyai gelombang antara 290-320 namometer boleh mengakibatkan penyakit kulit seperti melanoma. Penyakit ini terjadi apabila gen-gen dalam kromosom mengalami mutasi yang menyebabkan pembahagian sel-sel tidak sistematik lantaran daripada pancaran ultra ungu yang terlalu kuat. Berdasarkan kajian para saintis, pengurangan  1%  dalam lapisan ozon akan menyebabkan pertambahan sebanyak 5% dalam kes penyakit kulit. Masalah ini amat ketara di negara-negara barat kerana kebanyakkan penduduknya berkulit putih yang lebih sensitif dan berisiko terhadap pancaran ini. Selain itu, pancaran ultra ungu ini juga akan menyebabkan penyakit mata. Sesorang yang terlalu lama terdedah kepada pancaran ultra ungu ini akan menghidap penyakit katarak mata yang boleh menyebabkan buta, lantaran daripada ketumbuhan selaput putih yang menutupi anak mata. Penduduk-penduduk yang kurang mampu membiayai pembedahan mata dan membeli cermin mata bagi mengelakkan pancaran ini akan lebih terdedah kepada risiko penyakit katarak.



Disamping itu, penipisan lapisan ozon ini juga akan menyebabkan kepupusan hidupan laut. Pancaran ultra ungu yang keterlaluan akan menyebabkan mikroorganisma  dalam air seperti plankton akan mati. Hidupan laut yang bergantung kepada plankton ini juga akan semakin berkurangan dan mungkin akan mengalami kepupusan lantaran daripada ketiadaan sumber makanan. Hal ini akan memberi impak yang besar terhadap pembiakan ikan yang akan berkurangan secara perlahan-lahan dan secara tidak langsung menjejaskan sumber protein bagi manusia dan juga haiwan lain. Penipisan lapisan ozon ini juga, akan menyebabkan  peningkatkan suhu bumi. Suhu bumi yang melebihi paras normal akan mengakibatkan glasier di utara Artik dan Kutub Antartika akan mula mencair. Fenomena pencairan yang berlaku ini seterusnya menyumbang kepada peningkatan isipadu air laut dan akan menyebabkan kawasan tanah renda lenyap di telan laut. Contohnya Pulau Maldives, Bangladesh, Amazon di Amerika dan beberapa kawasan lain.

Langkah untuk mengawal penipisan lapisan ozon

Namun begitu terdapat beberapa langkah yang dapat di ambil bagi mengawal atau membendung masalah penipisan lapisan ozon ini. Antaranya ialah  dengan mencari bahan alternatif lain bagi menggantikan penggunaan kloroflorokarbon dalam pelbagai industri. Dalam hal ini, pihak tertentu seharusnya meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan dalam mencari bahan ganti kloroflorokarbon. Contohnya, melalui penggunaan gas helium yang telah dikaji dan mampu digunakan dalam alat penghawa dingin sebagai agen pendingin. Hal ini dapat di buktikan melalui teknologi tanpa kloroflorokarbon dalam perindustrian alat pendingin udara A1 Nearh yang dicipta di Taiwan dan akan dikilangkan oleh syarikat Interlink Corporation di Malaysia.

Selain itu, pengawalan penggunaan kloroflorokarbon ini juga boleh dilakukan dengan mengadakan konvensyen dan persidangan peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, kerjasama dan komitmen daripada  pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan pencinta alam sedunia adalah penting. Konvensyen ini akan mampu menimbulkan kesedaran kepada ketua-ketua negara yang mempunyai kuasa esekutif dalam negara masing-masing dan melibatkan mereka secara langsung dalam mengatasi masalah ini. Antara perhimpunan dan persidangan para ketua negara dan saintis yang telah dilakukan termasuklah konvesyen untuk melindungi lapisan ozon di Vienna pada Mac 1985, susulan dari itu satu peraturan antarabangsa bagi menyekat dan mengawal pengeluaran serta penggunaan kloroflorokabon yang dikenali sebagai protokol telah dipersetujui. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memerangi pengunaan bahan kloroflorokarbon. Hal ini dapat dibuktikan melalui persidangan antarabangsa mengenai ozon tropika dan perubahan dalam atmosfera yang telah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 20 hingga 23 Februari 1990. Begitu juga dengan negara Singapura yang telah mengambil tindakan mengharamkan penggunaan alat pengdingin udara kenderaan.

Penutup 

Kesimpulannya, masalah alam sekitar seperti penipisan lapisan ozon ini sememangnya telah mencuri tumpuan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaiannya. Malahan, rangkaian media turut  tidak ketinggalan untuk membuat liputan dan berusaha menulis rencana untuk memberikan kesedaran terhadap manusia sejagat agar mengekalkan dan memelihara keindahan alam semula jadi. Namun demikian, masalah ini bagaikan “lagu dan irama” yang sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi dengan kehidupan manusia. Walaupun, masalah alam sekitar ini khususnya masalah penipisan lapisan ozon agak mustahil untuk ditangani, namun semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama yang padu untuk menangani masalah ini, setidak-tidaknya masalah ini akan dapat dikurangkan. Kita sebagai insan ciptaan Tuhan yang mempunyai fikiran seharusnya mempunyai tanggungjawab dalam memelihara alam semulajadi agar apa yang kita ada pada hari ini akan dapat dikongsikan kepada generasi yang akan datang kelak.