Contoh Karangan Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan Melancong Dalam Negara
Kata
orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita
mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang
yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi
negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita
mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk
berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya
jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.
Sedar
atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang
untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan
warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan
khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu,
Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai
Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara
kita telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan
makanan. Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam
pelbagai kaum rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian,
akan timbullah perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah
kita bersikap seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih
hijau daripada rumput-rumput yang sedang diragut.
Di
samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan
ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan
dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat
beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan menawarkan banyak
peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang
kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian
khidmat pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana
pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada
tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK,
kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang
dipengaruhi oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global.
Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan
industri pelancongan domestik.
Jika
kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam
negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke
luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan,
tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika
melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati,
kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun,
Korea, Singapura dan Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong
dalam negara ialah ghalibnya kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh
pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema. Malahan, kita boleh memandu
kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi,
bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita. Deduksinya, jika hendak
melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam
negara, kita tidak perlu berbelanja besar.
Tambahan
pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan
hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang
secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu
bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya
anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai
destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak
dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam
minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang
yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah
antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya.
Konklusinya,
pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan.
Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya
memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk
memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan
demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa
rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di
bawah tempurung.